60,000 penduduk Tok Bali bakal nikmat air bersih terawat pada 2016

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Kelantan bertindak membeli bekalan air terawat daripada Terengganu bagi memastikan 60,000 penduduk di Bukit Yong dan Semerak, Tok Bali, mendapat bekalan air bersih.

Difahamkan, pembelian air secara pukal itu adalah projek jangka pendek sementara menunggu projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Machang Fasa 2 yang dijangka siap pada 2016.

Sebelum ini, penduduk di kawasan terbabit dibelenggu masalah bekalan air bersih dan kini bakal mendapat manfaat daripada perjanjian pembelian air terawat secara pukal di antara Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dengan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), hari ini.

Menerusi perjanjian itu, SATU akan membekalkan bekalan air terawat sebanyak 150,000 meter padu sebulan untuk kegunaan 1,200 akaun pengguna AKSB.

Pengarah Eksekutif AKSB Sanusi Othman menandatangani perjanjian bagi pihak syarikatnya manakala SATU diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Ir Atemin Sulong.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Ahmad berkata AKSB membeli air terawat itu bagi mengatasi masalah tekanan bekalan air yang rendah di kawasan Semerak termasuk pelabuhan Tok Bali dan Bukit Yong yang telah lama berlarutan.

“Pembelian air terawat ini adalah bersifat jangka pendek sahaja sementara menunggu siapnya projek menaik taraf Loji Rawatan Air Merbau Chondong di Machang Fasa 2 yang dijangka siap penghujung 2016,” katanya.

Ahmad berkata Kelantan bersedia untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan Terengganu khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pelancongan untuk faedah rakyat.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata SATU menggunakan bekalan air dari Loji Bukit Bunga, Besut untuk disalurkan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau berkata sebagai negeri berjiran, Terengganu sentiasa bersedia untuk membantu mengatasi masalah yang dihadapi rakyat Kelantan termasuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir akhir tahun lepas.

Katanya kerajaan Terengganu juga bersedia untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Kelantan dalam bidang lain seperti pendidikan dan ekonomi untuk faedah rakyat.

Sebagai rekod semalam turut dilaporkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata persetujuan itu dicapai berikutan hasil pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

TAGS