Malaysia Dateline

60 maut, 100 cedera serangan udara di Yaman

Sekurang-kurangnya 60 terbunuh dan 100 yang lain cedera dalam serangan pakatan tentera diketuai Arab Saudi, di wilayah Dhamar barat Yaman, hari ini.

Saluran TV al-Masirah melaporkan bahawa pesawat tempur milik pakatan Saudi telah menyerang penjara di mana tahanan perang ditempatkan.

Ketua Komuniti Nasional Hal Ehwal Banduan, Yaman Abdul Qader al-Mortada mengesahkan, penjara yang disasar menempatkan lebih daripada 170 tawanan perang.

Media tempatan memetik kenyataan pakatan tentera Arab Saudi menyatakan bahawa serangan udara di Dhamar turut menyasarkan tapak ketenteraan milik gerakan Houthi Ansarullah.

Mereka mendakwa pejuang Houthi telah menyimpan dron dan sistem pertahanan udara di tapak berkenaan, dan memberitahu serangan itu ‘selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.’

Dibantu Barat, pakatan tentera diketuai Arab Saudi bertempur dengan militan Syiah Houthi sejak 2015 dalam usaha menempatkan semula kerajaan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa di Yaman.

Konflik Yaman secara keseluruhannya dilihat sebagai perang proksi antara Arab Saudi dan Iran. Setakat ini, perang di Yaman menyebabkan lebih 10,000 terbunuh.

Sejak beberapa bulan lalu, militan Houthi meningkatkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas bandar Arab Saudi, terutama yang bersempadan dengan Yaman. – Agensi