60 tahun merdeka, luar bandar masih bergelap

60 tahun merdeka, luar bandar masih bergelap

Naib Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Malaysia kini berada di ambang zaman kemodenan dan Revolusi Industri 4.0 namun nikmat yang dikecapi ini masih lagi tidak dapat dirasai oleh segenap pelusuk rakyat khususnya yang berada di luar bandar.

“Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2, beberapa kementerian telah ditegur dan salah satunya ialah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menerusi projek talian grid elektrik luar bandar di Sabah.

“Hasil penemuan amat mengejutkan apabila mendapati satu projek telah melepasi tempoh 2 tahun dari tarikh sepatutnya siap dan penyambungan elektrik ke 2,332 buah rumah belum ataupun lewat dimanfaatkan kepada penduduk.

“Hal ini bermakna penduduk luar bandar khususnya di Sabah masih lagi belum mendapat elektrik bagi kegunaan harian dan adakah mereka akan terus bergelap disebabkan kegagalan urus tadbir projek ini?” tulis Ahli Parlimen Parit Buntar itu dalam Facebooknya.

Kata Mujahid, sebanyak RM 2.45 juta telah dibelanjakan untuk pemasangan talian perkhidmatan kepada 60 buah rumah yang belum siap dan tidak berpenghuni bersamaan 17.5% dari keseluruhan rumah.

“Bagi projek talian grid Zon 3 pula telah mencapai kelewatan selama 791 hari dan kerugian sebanyak RM 6.83 juta disebabkan masalah komunikasi antara KKLW dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pengalihan tiang elektrik dan dijangka apabila projek ini selesai, penduduk bakal mendapat elektrik selepas penantian selama 4 tahun 2 bulan.

“Projek Zon 4 pula telah diberi lanjutan selama 502 hari dan terdapat peningkatan kos sebanyak RM 1.74 juta bagi pengalihan tiang elektrik dan dijangka penduduk bakal mendapat semula elektrik selepas menanti selama 2 tahun 4 bulan,” sambungnya.

Di samping itu kata Mujahid lagi, terdapat juga amaun sejumlah RM 742,963 telah dibayar kepada kontraktor namun skop kerja tidak dikemukakan ataupun diluluskan oleh Pengarah Projek.

“Kelompongan dan salah urus tadbir oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengakibatkan kebajikan luar bandar khususnya berkaitan dengan perkhidmatan elektrik tidak diberi perhatian dengan sewajarnya.

“Adakah Kerajaan BN berhasrat lebih suka menunggu sehingga pilihan raya seterusnya untuk turun memberi janji manis kepada rakyat di kawasan luar bandar namun pada hakikatnya menghalang mereka mendapat akses terhadap kemudahan asas,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) kata Mujahid, berpendapat warga luar bandar wajib sekurang-kurangnya mendapat akses kepada kemudahan asas sewajarnya.

“PH komited dalam memberikan harapan dan sinar baharu khususnya kepada warga luar bandar,” kata beliau.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES