Malaysia Dateline

600 penduduk degil jalani ujian saringan, pihak berkuasa gempur rumah ke rumah

Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terpaksa menggempur rumah penduduk di Kampung Seberang Baruh di Chabang Tiga, Kuala Terengganu hari ini ekoran lebih separuh daripada mereka enggan melakukan ujian saringan bersasar Covid-19.

Pengumuman melalui siaraya juga dilakukan bagi memaksa mereka patuh kepada arahan untuk menjalani ujian saringan bersasar Covid-19 di balai raya berdekatan yang diadakan sejak semalam.

Ujian calitan di kampung itu dilaksanakan susulan 11 individu daripada beberapa keluarga didapati positif Covid-19 selepas mereka dikatakan menziarahi kematian di Telemong, Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampungnya (JPKK), Mohd. Junaidi Long berkata, seramai 950 penghuni di kawasan itu diarahkan tampil melakukan ujian berkenaan susulan 11 kes positif Covid-19 yang dikesan dalam kalangan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, hanya kira-kira 400 orang hadir melaksanakan tanggungjawab itu pada hari pertama ujian saringan semalam manakala baki 600 lagi diminta berbuat demikian hari ini.

“Pagi ini sambutan terhadap arahan Jabatan Kesihatan negeri itu masih lagi kurang, jadi kita terpaksa membuat gerak gempur dari rumah ke rumah.

“Saya sebagai wakil JPKK merayu kepada penduduk agar mengambil peluang membuat saringan secara sukarela demi menjaga kesihatan dan keselamatan kita daripada Covid-19,” dipetik Utusan Online hari ini.

Antara alasan mereka enggan tampil melakukan ujian saringan bersasar Covid-19 termasuklah menganggap bukan kontak rapat, tidak bergaul dan tidak keluar rumah.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pelaksanaan ujian saringan bersasar Covid-19 di kampung itu bertujuan mengelak jangkitan lebih besar dalam komuniti.

Jelasnya, pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat membolehkan tindakan kawalan seperti rawatan dan kurantin disegerakan.

“Penduduk dinasihatkan memberi kerjasama untuk tampil membuat saringan agar rantaian virus dapat diputuskan,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Kuala Terengganu mencatatkan kes aktif tertinggi berbanding tujuh daerah lain dengan 120 kes setakat hari ini.

Terdapat sembilan kes baharu dilaporkan hari ini dengan jumlah kumulatif kematian Covid-19 sebanyak 15 kes.