Malaysia Dateline

COO TH ditahan reman empat hari bantu siasatan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah reman selama empat hari menahan seorang  Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) bergelar Datuk  untuk membantu siasatan terhadap menerima rasuah.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membenarkan pasukan penyiasatan menyelesaikan siasatan.

Peguam Shaharudin  yang mewakili suspek berkata anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM kerana didakwa menerima rasuah daripada seorang ejen.

SPRM telah meminta reman tujuh hari tetapi Shaharudin meerayu selama tiga hari sahaja.

“Ada kemungkinan anakguam saya dibebaskan, sebelum majistret melanjutkan tempoh tahanan pada hari Ahad,” katanya.

Pegawai penyiasat diberikan tempoh sehingga 14 hari untuk menahan suspek bagi tujuan siasatan.

Shaharudin berkata anakguamnya ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 3 petang semalam selepas disoal siasat oleh pegawai anti rasuah.

Dipercayai penangkapannya berhubungkait dengan siasatan SPRM terhadap penggunaan kontraktor penghias dalaman Tabung Haji untuk membina almari di rumahnya.

Polis juga menyiasat Tabung Haji berhubung dakwaan penyalahgunaan dana.

Dilaporkan bulan lalu bahawa Tabung Haji telah membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi, Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua pegawai eksekutif Ismee Ismail dan Johan Abdullah, serta kakitangan pengurusan kanan.