Malaysia Dateline

62 kes baharu, tertinggi sejak PKPP

Sehingga jam 12 tengahari tadi, negara mencatat sebanyak 62 kes positif Covid-19 baharu sekali gus rekod tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan pada Jun lalu.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,459 kes manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 207 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 62 kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

Manakala 56 kes adalah kes penularan di dalam negara membabitkan 30 warganegara Malaysia dan 26 bukan warganegara.

“Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat sembilan kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 sebanyak 9,124 kes (96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Bagaimanapun tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya dalam sidang media harian hari ini.