Jika saya menang, ia merupakan kemenangan untuk kebenaran dan ketelusan, calon DAP

Jika saya menang, ia merupakan kemenangan untuk kebenaran dan ketelusan, calon DAP

“Jika saya menang, ia akan menjadi kemenangan untuk kebenaran, ketelusan dan keadilan,” kata Calon Pakatan Harapan untuk pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran.

Timbalan Pengerusi DAP Pahang, yang akan kembali sebagai calon DAP untuk pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Januari, berharap dapat melihat pertandingan yang bersih dan adil di kalangan semua calon.

“Saya mahu (pilihan raya kecil) ini menjadi pemula, mulai sekarang ke arah pemilihan sejagat, amalan demokrasi yang akan dilaksanakan tanpa rasa takut dan tanpa memihak dan yang penting tanpa politik wang,” katanya ketika ditemui selepas pencalonannya diumumkan pada sidang media mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam.

Ketika ditanya mengenai keyakinannya memperoleh majoriti besar berbanding keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (GE14) yang menyaksikan beliau kalah kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk C. Sivarraajh dengan margin yang tipis, Manogaran berkata beliau lebih suka tidak terlalu yakin tentang perkara itu.

“Saya tidak mahu berasa terlalu yakin, saya hanya berharap untuk menang. Kemenangan ini bukan kemenangan saya, jika saya menang, ia merupakan kemenangan untuk kebenaran, ketelusan dan keadilan,” katanya.

Pada 30 Nov tahun lepas, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Manogaran telah memfailkan petisyen memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 28 Dis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa Sivarraajh, naib presiden MIC, tidak layak untuk bertanding pada pilihan raya kecil parlimen itu.

Pada PRU14, Sivarraajh memperoleh 10,307 undi untuk menang dengan majoriti 597 undi dalam pertarungan lima penjuru. Manogaran mendapat 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari Pas, 3,587 undi; Mohd Tahir Kassim (Berjasa) 81 undi dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), 680 undi.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 12 Januari, hari mengundi awal 22 Januari dan hari pengundian pada 26 Januari.- BERNAMA