Malaysia Dateline

6,276 kes baharu Covid-19, Selangor melonjak 2,836 kes

Sebanyak 6,276 kes baharu Covid-19 dilapor hari ini dengan 55 peratus daripadanya muncul di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pertambahan tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini meningkat kepada 751,979 kes.

Selangor mencatatkan rekod membimbangkan apabila terdapat 2,836 kes Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam.

Angka harian kes pandemik itu di Selangor adalah tertinggi selepas 19 hari selepas merekodkan 2,558 kes pada 11 Jun lalu.

Semakan Malaysia Dateline mendapati secara purata, Selangor mencatatkan 2,243 kes harian untuk tempoh minggu terakhir bulan ini.

Selepas Selangor, Negeri Sembilan berada di tangga kedua jangkitan Covid-19 dengan 644 kes hari ini diikuti Kuala Lumpur (625 kes) dan Sarawak 376 kes.

Sementara itu, empat negeri merekodkan angka melebihi 200 kes hari ini iaitu Johor, Sabah, Kedah, Melaka dan Pahang.

Lagi empat negeri dan Wilayah Persekutuan pula melaporkan kes baharu Covid-19 setakat jam 12 tengah hari tadi melebihi 100 kes iaitu Kelantan, Perak, Labuan dan Pulau Pinang.

Hanya Terengganu dan Putrajaya mencatatkan hanya dua angka iaitu masing-masing 20 dan 11 kes manakala lima kes baharu Covid-19 dikesan di Perlis.