68 peratus sudah mengundi, 23 pusat undi ditutup setakat 4 petang

68 peratus sudah mengundi, 23 pusat undi ditutup setakat 4 petang

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 68 peratus daripada 31,639 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands telah keluar mengundi setakat pukul 4 petang tadi.

Sebanyak 23 daripada 29 pusat mengundi telah ditutup secara berperingkat dengan sebuah ditutup pada 1 tengah hari; lima (2 petang); sembilan (3 petang); satu (3.30 petang) dan tujuh (4 petang).

Baki enam pusat mengundi lagi akan ditutup pada 5.30 petang ini.

Untuk rekod, SPR telah membuka 17 pusat mengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanah Rata dan 12 lagi di Dun Jelai tepat pukul 8 pagi.

Terdahulu, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi dengan keputusan dijangka akan diketahui selewat-lewatnya 10 malam.

Antara pengundi di SMK Sultan Ahmad Shah yang berkerusi roda untuk membuang undi.

Mengulas kritikan pembangkang mengenai penutupan secara berperingkat pusat pengundian, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, amalan itu dilakukan dalam pilihan raya sebelum ini atas sebab logistik dan keselamatan.

Beliau juga memberitahu akan meletak jawatan secara sukarela jika rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan prestasi atau tindakan SPR di bawah pengawasannya.

Proses penjumlahan keseluruhan undi akan diadakan di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata.

Buat julang kalinya, SPR akan menyiarkan secara langsung menerusi Facebook suruhanjaya itu proses pengiraan dan penjumlahan undi serta pengumuman keputusan.

Persaingan sengit disaksikan antara calon Pakatan Harapan (PH), M.Manogaran yang merupakan Timbalan Pengerusi DAP Pahang dengan bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor mewakili BN.

Dua calon Bebas pula beradu nasib iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.

Orang Asli suku Semai membentuk komposisi 24.6 peratus pengundi di Parlimen Cameron Highlands.