Malaysia Dateline

63,000 rayuan untuk dapatkan peranti bawah PerantiSiswa

Kerajaan menerima 63,000 rayuan bagi mendapatkan peranti di bawah Program PerantiSiswa apabila tarikh ditutup 31 Dis tahun lepas, dan 25,000 daripadanya telah diluluskan sehingga kini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata bakinya sedang diteliti oleh institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat, yang akan mengesahkan sama ada pemohon berkenaan itu berasal daripada kelompok keluarga B40. 

“Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sebagai badan peneraju akan buat pengagihan. Sama ada permohonan diluluskan atau tidak, kita perlu tunggu pengesahan daripada institusi ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdullah Rahman Putra, di sini, hari ini. 

Terdahulu, beliau menyampaikan peranti di bawah program itu kepada penerima-penerima PerantiSiswa daripada 13 IPT dan beberapa sekolah di Parlimen Kulai, di sini.

Teo, yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata secara keseluruhannya sebanyak 301,737 unit tablet atau 83 peratus daripada 362,016 permohonan telah diluluskan, dan diedarkan sehingga kini.

“Bagi negeri Johor pula, 29,461 permohonan telah diluluskan dan daripada jumlah itu 23,435 unit telah diedarkan kepada mahasiswa yang layak,” katanya.

Sementara itu menjawab satu soalan Teo berkata 13 kes mengenai penjualan peranti oleh penerima dikesan setakat ini, dan kali terakhir pihak kementerian menerima laporan mengenainya adalah pada November lepas.

Program PerantiSiswa merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan membantu proses pembelajaran mahasiswa IPT yang berada dalam kelompok B40.

— BERNAMA

Baca juga : Mewah itu subjektif, lelaki anggap KFC makanan mahal masa kecil