Enam negara dalam kelompok 20 pasukan terbaik dunia akan berentap pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28, yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini, dari 23 hingga 30 Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Piala Sultan Azlan Shah, Datuk Abd Rahim Mohd Ariff berkata negara tersebut adalah India yang berada pada ranking kelima dunia, Kanada (10), Afrika Selatan (16), Korea Selatan (17), Jepun (18) dan tuan rumah Malaysia (13).
Beliau berkata juara bertahan Australia tidak dapat menyertai kejohanan kali ini kerana terlibat dalam Liga Profesional Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang dijadualkan dari Jan hingga Jun.
“Walaupun pasukan gergasi seperti Australia dan New Zealand tidak dapat menyertai kejohanan kali ini, tetapi juara Sukan Asia, Jepun akan menyertainya.
“Jadi rakyat Malaysia berpeluang melihat perlawanan ulangan antara Jepun dan Malaysia, mungkin ini satu perlawanan yang ditunggu-tunggu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ipoh semalam.
Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata ketiadaan pasukan gergasi berkenaan pada kejohanan kali ini juga akan membuka peluang keemasan untuk ‘Malaysia Tigers’ menjadi juara buat kali pertama sejak kejohanan itu dipertandingkan pada tahun 1983.
Untuk rekod, sepanjang kejohanan itu dipertandingkan pencapaian tertinggi pasukan hoki kebangsaan adalah menjadi naib juara sebanyak empat kali, katanya.
“Melihat pada ranking pasukan yang menyertai kejohanan kali ini pencabar utama adalah India yang berada di ranking kelima dunia tapi kehebatan Jepun sebagai juara Sukan Asia juga perlu diberi perhatian.
“Peluang Malaysia amat cerah untuk masuk ke final dan kita harapkan edisi ke-28 ini menjadi detik bersejarah buat pasukan negara,” katanya.- BERNAMA