Malaysia Dateline

64 peratus kes baharu Covid-19 di Sarawak, Selangor dan Kelantan

Sebanyak 64 peratus daripada 2,078 kes baharu Covid-19 hari ini dilaporkan di Sarawak, Selangor dan Kelantan.

Sarawak terus mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 589 kes diikuti Selangor (457) dan Kelantan sebanyak 290 kes.

Daripada 2,078 kes yang dilaporkan hari ini terdapat 13 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Hingga kini 20,522 kes masih aktif dilaporkan di negara ini dan daripada jumlah itu 228 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 93 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan hari ini terdapat lapan kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini disebabkan oleh Covid-19 sebanyak 1,386 kes.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, terdapat 1,402 kes sembuh sekali gus menyaksikan pertambahan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya kepada 355,224 kes atau 94.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.