64 peratus kes Omicron babit jemaah umrah

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Sebanyak 64.08 peratus iaitu 157 daripada 245 kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia membabitkan jemaah umrah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata daripada jumlah 245 kes itu, sebanyak 233 kes adalah jangkitan import manakala selebihnya penularan tempatan di Sarawak.

Menurutnya dalam sidang media di Parlimen, hari ini, ia penambahan sebanyak 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini kepada jumlah jangkitan pada 4 Januari lalu yang mencatatkan 122 kes.

“Sebanyak 44 kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan tujuh kes positif Covid-19 jangkitan tempatan di Sarawak disahkan varian Omicron oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Daripada 44 kes jangkitan import itu, 29 kes adalah daripada Arab Saudi, masing-masing lima kes dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kazakhstan, tiga kes kes dari United Kingdom dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat dan Tanzania,” kata Khairy lagi.