Malaysia Dateline

65,000 Jalur Gemilang dipasang di Negeri Sembilan

Sebanyak 65,000 Jalur Gemilang telah dipasang di seluruh Negeri Sembilan oleh kerajaan negeri, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemilik bangunan dan syarikat swasta, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Zulkefly Mohammad Omar.

Beliau berkata Jalur Gemilang itu dipasang di lokasi tumpuan seperti di 13 plaza tol, lapan jejantas, empat stesen komuter dan beberapa jalan utama di sekitar Bandar Seremban bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan 2019.

Katanya 13 rakan strategik juga turut menjayakan keceriaan kibaran Jalur Gemilang peringkat negeri pada tahun ini.

“Tiga belas rakan strategik itu ialah IJM Land Bhd, Matrix Concepts Holding Bhd, RB Land Sdn Bhd, Sime Darby Bhd, PLUS Malaysia Bhd (PLUS), SWM Environment Sdn Bhd (SWM), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Guh Properties Sdn Bhd, Cangkat Hartamas Sdn Bhd, GD Development Sdn Bhd, Sunrise MCL Land Sdn Bhd, LEKAS Highway dan West Synergy Sdn Bhd.

“Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan 2019 terus diberikan suntikan semangat patriotik dengan menggalakkan masyarakat di negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Kesedaran Awam anjuran bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, PLUS dan SWM Environment Sdn Bhd di Plaza Tol Senawang dekat sini, hari ini.

Pada program itu, turut diedarkan 1,000 Jalur Gemilang untuk kenderaan dan 1,000 risalah kempen kesedaran kebersihan.

Turut hadir ialah Pengarah SWCorp Negeri Sembilan Nordin Amat, Pengurus SWM Wilayah Negeri Sembilan dan Melaka Dr Al’ Ashari Othman, Pengurus Seksyen S1 PLUS Mahadzir Maso’d dan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shabli Arshad.

Zulkefly berkata program hari ini antara lain memastikan sepanjang bulan kemerdekaan ini setiap lapisan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda dan semangat cintakan negara.

Selain itu, katanya program ini juga untuk memastikan keceriaan dan keindahan bulan ini dipelihara dengan mengamalkan budaya cintakan kebersihan persekitaran.

Sementara itu, Nordin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keindahan dan Keceriaan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2019 berkata penglibatan pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran awam berkaitan tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran merupakan peranan yang perlu dipikul bersama.

“Dalam kita gembira menyambut Hari Kebangsaan esok, tetapi dalam masa yang sama kita tidak harus lupa untuk menjaga kebersihan persekitaran serta memelihara alam sekitar demi kelangsungan kehidupan dan kelestarian alam sekitar.

“SWCorp akan sentiasa fokus dalam mendidik masyarakat untuk menguruskan sisa pepejal dengan betul. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat perlu memahami kepentingan pengurusan sisa pepejal dengan lebih mendalam dan mempunyai kesedaran yang tinggi serta sikap kebertanggungjawaban dari semua sudut sehingga mempunyai nilai ‘sense of belonging’,” katanya.– BERNAMA