Risiko tiada rundingan semula Brexit semakin meningkat, kata pemimpin EU

Risiko tiada rundingan semula Brexit semakin meningkat, kata pemimpin EU

Presiden Suruhanjaya Eropah pada Rabu berkata risiko Brexit tidak akan dirunding semula telah meningkat susulan undian yang dilakukan oleh Dewan Rakyat Britian, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Ketika berucap di Parlimen Eropah, Jean-Claude Juncker berkata Brexit adalah dan masih merupakan satu “idea yang teruk,” dan keputusan Dewan Rakyat Britain pada Selasa “terus meningkatkan risiko yang menyaksikan pengunduran UK (United Kingdom) dilakukan secara tidak tersusun” yang mungkin merupakan “senario terburuk.”

Pada Selasa, Parlimen British telah memberi mandat kepada Perdana Menteri Theresa May untuk mengeluarkan klausa berhubung isu “backstop” daripada usul Brexit beliau dan merundingkan “struktur alternatif” dengan Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, Juncker berkata “perjanjian pengunduran itu adalah perkara terbaik dan satu-satunya yang boleh berlaku,” sambil menambah bahawa EU tidak akan merundingkan semula perjanjian tersebut.

“Saya percaya kita memerlukan satu jaringan keselamatan yang memberikan jaminan kepada kita untuk berdepan risiko ini… sempadan Ireland adalah sempadan Eropah dan ia merupakan keutamaan kesatuan kita,” katanya.

Bercakap di Parlimen EU, ketua perunding Brexit EU, Michel Barnier juga berkata “Kita kini berasa lebih khuatir, bahawa terdapat risiko tiada rundingan semula, dan kita masih fokus untuk mengelak senario itu.

“Institusi EU kekal bersatu dan kita berpegang kepada perjanjian yang telah dirundingkan dengan UK, tidak pernah menentang UK.”

UK ditetapkan untuk meninggalkan EU pada 29 Mac.

— BERNAMA