Malaysia Dateline

659 kes baharu, 83 pesakit positif COVID-19 dalam ICU

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sehingga pukul 12:00 tengah hari 31 Oktober, sebanyak 659 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 31,548 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,051 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 659 kes baharu pada hari ini, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Bangladesh yang melibatkan bukan warganegara.

Katanya, terdapat 83 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 19 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan katanya tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 249 kes,” katanya.

Pada hari ini, katanya Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 sebanyak 1,000 kes menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 21,248 kes.

Noor Hisham juga memaklumkan bahawa tiada pertambahan kluster baharu pada hari ini, justeru jumlah kluster aktif adalah kekal 133 kluster dengan jumlah kluster tamat adalah 114 kluster.