Malaysia Dateline

66 discaj, kes pulih lebih dua kali ganda daripada bilangan kes baharu

Setakat jam 12 tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan bilangan kes yang discaj hari ini lebih dua kali ganda bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Memaklumkan perkembangan terkini kes jangkitan Covid-19 di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 66 kes dilaporkan telah pulih dan dibenarkan discaj.

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,470 kes (82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Pada masa sama, Noor Hisham memaklumkan terdapat 20 kes baharu yang telah dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,877 kes.

Oleh itu, katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 1,292 kes.

“Daripada 20 kes baharu itu, 15 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 5 kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah bukan warganegara dan dua kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Sehingga kini, seramai enam kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan di Malaysia bagi tempoh 11 hari berturut-turut sejak 23 Mei lepas, dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal pada 115 kes (1.46 peratus).