66  Sekolah Tahfiz di Kedah tidak patuhi aspek keselamatan

66 Sekolah Tahfiz di Kedah tidak patuhi aspek keselamatan

Sebanyak 66 sekolah tahfiz di negeri ini didapati tidak mematuhi aspek keperluan keselamatan kebakaran yang ditetapkanoleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah JBPM negeri, Abdul Razak Muda berkata, jumlah itu didapati hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan petugas khas secara komprehensif supaya kejadian kebakaran yang membabitkan sekolah tahfiz dapat dielakkan.

Pemeriksaan yang berakhir 15 Oktober lalu mendapati ramai pengusaha sekolah itu gagal menyediakan alat pemadam api yang mencukupi, tiada tangga kedua, tiada pili bomba, dan menggunakan jeriji tingkap yang tidak mengikut spesifikasi bomba.

Kita baru sahaja habis buat pemeriksaan di 66 buah sekolah tahfiz di Kedah,..agak malang kerana daripada kesemua sekolah tersebut tiada satu pun sebenarnya yang memenuhi secara keseluruhan aspek keselamatan kebakaran, katanya pada Majlis Apresiasi dan Perhimpunan Bulanan JBPM Kedah 2017 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta para pengusaha berusaha memenuhi syarat yang ditetapkan supaya sekolah dapat beroperasi dalam persekitaran yang selamat.

Bomba dan pihak kerajaan tidak berhasrat untuk tutup sekolah tahfiz kerana kita faham masalah kewangan yang dihadapi, tetapi mereka cubalah memenuhi syarat kita beri itu.

Insya-Allah…kita juga akan membantu menerusi program NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) untuk menyelenggara semula sistem pendawaian elektrik

dan bangunan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Giat Mara serta Jabatan Kerja Raya (JKR), katanya.

Abdul Razak berkata, selain sekolah tahfiz, pihaknya juga sedang melakukan pemeriksaan di sekolah-sekolah agama rakyat yang lain di seluruh Kedah.

Kita sebenarnya masih lagi dalam proses pemeriksaan di sekolah-sekolah agama yang lain…Insya-Allah pada 2018 dan 2019 ini

kita akan perluaskan di sekolah-sekolah agama rakyat lain yang banyak lagi beroperasi, katanya.

Mengikut rekod sejak 2014 hingga kini, hanya terdapat lapan kes kebakaran yang membabitkan sekolah tahfiz di Kedah.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, jabatannya kini berada dalam kesiapsiagaan terbaik bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

Kita baru sahaja hadapi gelombang pertama yang berlaku di Kulim dan Kuala Muda…ikut Jabatan Meteorologi Malaysia akan ada lagi hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir. Saya ingin memaklumkan pihak kita telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan menghadapi bencana banjir kali kedua dengan kekuatan anggota dan logistik yang dimiliki, katanya.

 

CATEGORIES