Malaysia Dateline

660 kes baharu, Lembah Klang catat penurunan sebanyak 345 kes

Terdapat sebanyak 660 kes telah dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kes positif
COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 50,390 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,814 kes.

Katanya, daripada 660 kes baharu pada hari ini, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan dua warganegara dan dua bukan warganegara yang tiba dari negara Turki, India dan Arab Saudi.

Sehingga kini katanya, sebanyak 103 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 41 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 322 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Katanya, terdapat lapan kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini.

Namun katanya, negeri Sabah terus mencatatkan kes terbanyak 387 kes (58.6 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.

Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 173 kes positif pada hari ini iaitu penurunan sebanyak
345 kes (66.6 peratus) daripada sejumlah 518 kes positif yang dilaporkan semalam.

Daripada 173 kes positif yang dilaporkan di ketiga-tiga negeri Lembah Klang ini, sebanyak 77 kes (44.5 peratus) adalah daripada kes daripada kluster-kluster yang telah dikenal pasti.

Katanya, sebanyak 171 kes (25.9 peratus) yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

“Ini melibatkan Kluster PTS Tawau (135 kes), Kluster GK Tawau (12 kes), Kluster Tembok (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (6 kes), Kluster Rumah Merah (4 kes), Kluster Matambai (4 kes) dan Kluster Penjara Sandakan (1 kes),” ujarnya.