Dr Mahathir: Kejutan berupa amaran

Dr Mahathir: Kejutan berupa amaran

Tun Dr Mahathir: Kejutan yang memberi Amaran!

Agak mengejutkan apabila Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Pas tidak akan menyokong Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih, berdasarkan pertemuannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beberapa hari lalu.

Kata beliau,terdapat pengakuan secara bertulis kononnya Pas tidak akan menyokong Umno.

Sebelum ini Abdul Hadi menjelaskan pertemuan itu adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata perbincangan itu turut menyentuh mengenai royalti petroleum, Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek-projek Kerajaan Persekutuan dan negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan

Mungkin apa yang berlegar di fikiran orang awam yang memerhatikan perkembangan politik kini ialah adakah Pas telah berpaling tadah daripada menjalin kerjasama dengan Umno?

Adakah Pas akan menghentikan kempennya untuk Umno kerana menganggap parti Bersatu bukan musuh politik seperti yang mereka alami di Cameron Highlands?

Walau bagaimanapun sehingga rencana ini ditulis, Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadli Shaari berkata tiada apa-apa arahan daripada Presiden Pas supaya pimpinan dan jentera parti menghentikan kerjasama dengan BN dalam PRK Dun Semenyih.

Mungkin ia juga ada kaitannya dengan kenyataan Dr Mahathir pada 12 Februari lepas menyebut bahawa “Kalau parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) ini membelot dan tidak setia kepada negara, saya akan tukar kepada parti lain.”

Ada beberapa perkataan yang menimbulkan persoalan dan pertanyaan, pertama kenapa perlu menukar parti atau mencari komponen lain, apakah isu yang membuat Dr Mahahir membuat kenyataan kejutan yang merupakan amaran mendadak sedemikian?

Kedua, parti apakah yang akan dijalin kerjasama dengan Bersatu, sudah tentu bukan Umno, MCA atau MIC.

Ketiga apa jenis pembelotan dan tidak setia sehingga sampai ke tahap negara yang boleh dianggap kes berat?

Sehubungan dengan itu, dalam isu pembelotan ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjawab dengan tegas bahawa beliau enggan melayan dakwaan berlaku pembelotan melibatkan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Saya tak layan (isu ini) kerana dalam hubungan saya dengan Perdana Menteri, saya tak pernah bangkit (isu pembelotan). Tak pernah dibangkit dalam parti dalam PH. Ini hanya naratif Pas untuk elak siasatan RM90 juta,” katanya kepada media selepas Syarahan Darul Ehsan di Universiti Selangor (Unisel).

Adakah belot itu bermaksud terdapat usaha-usaha daripada komponen PH yang menghimpit dan menekan beliau supaya meletakkan jawatan atau menjatuhkan beliau sebagai Perdana Menteri? Apakah ada komplot dalam kalangan parti-parti PH?

Malah Anwar menegaskan isu ini berkenaan hanya dipergunakan Pas untuk mengelak siasatan menerima dana RM90 juta.

“Namun saya telah berhubung dengan parti lain, dan tiada seorang pun yang mahu memberi respon kerana mereka fikirkan tiada isu dan mereka rasa Pas cuba untuk mengalihkannya daripada isu dana daripada 1MDB,” jelas beliau lagi.

Mengenai surat perakuan Pas kepada Dr Mahathir Jumaat lalu, Anwar berkata, beliau sendiri tidak pasti sama ada ia suatu pembohongan atau sebaliknya.

“Dia pernah sebut bohong untuk parti (sebelum ini), boleh jadi kita tak tau ia (surat perakuan) benar atau bohong,” katanya lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin, berkata Pas akan berdiri teguh menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad jika berlaku pengkhianatan dalam pentadbiran kerajaan PH.

Menurut Takiyuddin, bagi tujuan itu, Pas mengemukakan surat perakuan bertulis kepada Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu dalam pertemuan yang berlangsung di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur.

Adakah juga kerana Bersatu telah menerima masuk seramai tujuh bekas ahli parlimen yang merupakan bekas pemimpin Umno menyerahkan borang menyertai Bersatu.

Antara yang diterima menyertai parti itu sebagai ahli biasa,

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Adakah ia berhubung juga dengan Bersatu akan melebar sayap ke Sabah?

Kira-kira dua minggu lepas, pemimpin de facto DAP, Lim Kit Siang telah membuat kejutan juga mengeluarkan kenyataan lebih awal. Kata Kit Siang, DAP tidak teragak-agak untuk “meninggalkan gabungan kerajaan sekiranya objektif Malaysia baru dipinggirkan.”

Apakah pula yang dimaksudkan Kit Siang dengan “meninggalkan gabungan kerajaan sekiranya objektif Malaysia baru dipinggirkan.”

Adakah beliau memaksudkan “Malaysia baru” kelahiran semula impian “Malaysian Malaysia.” Beliau sendiri menegas dan mengulanginya di dalam ucapan sidang terakhir dewan rakyat Mac tahun lalu, iaitu sebelum parlimen dibubarkan.

Mungkin komponen PH merasakan Dr Mahathir telah mungkiri janji kerana seperti yang didakwa oleh Presiden PKR, Chang Lih Kang bahawa Dr Mahathir telah memungkiri kata-katanya sendiri.

Bagi Chang tindakan itu seolah-olah seperti mengkhianati rakyat kerana menerima tujuh Ahli Parlimen Umno.

Ahli Parlimen Tanjung Malim itu berkata, beliau kesal kerana Dr Mahathir memungkiri kata-katanya untuk tidak menerima mereka yang meninggalkan Umno, untuk masuk ke parti-parti Pakatan Harapan.

“Dr Mahathir pada Mei 2018 secara tegas menyatakan bahawa Pakatan tidak akan menerima ‘pembelot’ Umno ke parti-parti Pakatan.

“Ia agak mengecewakan dalam kurang setahun, Dr Mahathir memungkiri kata-katanya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatkan dalam MStar.

“Sebagai ahli Parlimen Pakatan, saya mahu mendesak semua parti-parti komponen untuk henti menerima ahli Parlimen BN (Barisan Nasional), kerana ia menjejaskan imej parti yang memerintah.

“Rakyat telah membuat keputusan mereka untuk tidak menerima Barisan pada pilihan raya umum ke-14, dan kita tidak seharusnya menentang kehendak mereka dengan mengambil ahli-ahli Parlimen dari bekas rejim ke dalam kerajaan baharu,” tambah Lih Kang. (Mstar 13/2/19)

Dalam masa yang sama, Mahathir mengakui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti yang mewakili kaum Melayu dan bumiputera di negara ini.

Banyak yang saling berkaitan dalam isu amaran perdana Menteri ini dan memang wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan komponen PH seperti PKR dan DAP, ini dapat dilihat daripada kenyataan mereka.

Dr Mahathir tidak akan mengeluarkan kenyataan sedemikian jika beliau tidak merasakan ia adalah isu penting dan serius.

Namun adakah kenyataan-kenyataan ini menandakan pepecahan atau tanda keretakan dalam komponen PH atau tanda kematangan demokrasi dengan kebebasan bersuara antara komponen parti dalam PH?

*Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)