Malaysia Dateline

Sime Darby Plantation tumpu tingkat sumbangan segmen hiliran

Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menjangka sumbangan perniagaan hilirannya kepada pendapatan bersih syarikat meningkat kepada 25 peratus dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang dengan penubuhan anak syarikat baharunya, Sime Darby Oils Sdn Bhd (SDO).

Ketua Pegawai Operasinya Mohd Haris Mohd Arshad berkata dalam tempoh jangka panjang, perniagaan hiliran disasar memberi sumbangan ketara kepada keuntungan SDP, dalam usaha untuk mengembangkan perniagaannya selain daripada perladangan.

Beliau berkata susulan penubuhan itu, SDO kini akan mewakili keseluruhan bahagian hiliran SDP di 16 negara dan melibatkan pembuatan, penjualan dan pemasaran.

“Jika minyak sawit mentah (MSM) terus meningkat, sumbangan hiliran kemungkinan berada dalam jajaran 20-25 peratus,” katanya pada sidang media sebelum pelancaran entiti baharu itu, pada Isnin, oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Ketika ini, perniagaan huluan menyumbang majoriti (80 peratus) daripada pendapatan bersih SDP, diikuti hiliran sebanyak 20 peratus.

Mohd Haris berkatan pengambilalihan utama juga diperlukan untuk meningkatkan kapasiti dan capaian kilang penapisannya.

Justeru, katanya, syarikat itu kini sedang mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi berpotensi untuk menubuhkan kemudahan baharu di India di samping mengintai untuk menembusi pasaran domestik Indonesia dengan memanfaatkan kemudahan sedia adanya di Kalimantan.

“Indonesia adalah pasaran yang kami sudah biasa tetapi kami tidak menumpukan kepada pasaran domestik; kebanyakannya bagi pasaran eksport,” katanya.

Secara keseluruhannya, syarikat itu mempunyai kemudahan rangkaian global di lapan negara — Malaysia, Indonesia, China, Belanda, United Kingdom, Afrika Selatan, Thailand dan Papua New Guinea, menghasilkan produk minyak dan lemak, biodiesel berasaskan sawit, nutraseutikal dan derivatif lain.

Keseluruhannya, kemudahan ini menghasilkan 3.8 juta tan metrik produk ditapis setahun, terutamanya daripada minyak sawit.

Beliau berkata SDP, yang merupakan pengeluar terbesar minyak sawit lestari diperakui  (CSPO), menghasilkan 2.46 juta tan metrik komoditi itu setahun.

SDO dengan slogan “Realising Possibilities, Together” akan menumpukan kepada empat atau lima segmen utama perniagaan hiliran seperti minyak masak, bakeri, lepa mentega, ramuan khas serta makanan haiwan.

Mohd Haris berkata minyak masaknya di Thailand di bawah jenama Morakot (Emerald), yang kebanyakannya dijual kepada perniagaan, merupakan minyak masak nombor satu di negara itu, manakala minyak masak Alif di Malaysia merupakan antara tiga jenama utama dalam pasaran.

“Sementara itu, lepa mentega kami mendapat sambutan baik di pasaran maju seperti Eropah dan Afrika Selatan,” katanya.

Ketua bahagian Eropah, Timur Tengah dan Afrika, Andrew Timothy Worrall, berkata percubaan Kesatuan Eropah untuk mengurangkan penggunaan minyak sawit tidak membimbangkan perniagaan hilirannya.

“Kedudukan kami adalah untuk meningkatkan keperluan standard kelestarian yang sangat tinggi dan memberikan apa yang dimahukan pelanggan.

“Jadi saya tidak rasa kami perlu bimbang dengan perniagaan hiliran,” katanya.

Sementara itu, Kok dalam ucapannya berkata langkah untuk mengukuhkan aktiviti hiliran dan mempelbagaikan penggunaan minyak dan lemak akan merangsangkan lagi pertumbuhan industri minyak sawit.

“Malaysia akan terus mempromosikan industri minyak sawit kita dan mempertahankannya.

“Minyak sawit menguasai keseluruhan penggunaan minyak dan lemak di seluruh dunia berikutan kualiti berkhasiat, fungsian dan berdaya saing dari segi kos,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan komited untuk melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) yang akan menjadi mandatori bermula 1 Jan, 2020.

“Saya menyambut baik usaha SDP yang menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan standard kelestarian industri minyak sawit negara dengan menjadi pengeluar terbesar MSPO diperakui dan mencapai 100 peratus pensijilan MSPO di 124 ladang dan 33 kilangnya di seluruh negara,” katanya.

Langkah itu, kata Kok, dijangka membantu meningkatkan harga MSM berikutan peningkatan permintaan terhadap produk minyak dan lemak lestari.

Sebagai satu daripada pengeluar dan pengeksport terbesar minyak sawit, Malaysia menyumbang 27 peratus kepada pengeluaran dunia dan 33 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit.

Pada 2018, industri minyak sawit menyumbang 4.5 peratus atau RM55.1 bilion daripada keluaran dalam negara kasar.- BERNAMA