Malaysia Dateline

7 ADUN PH pegang portfolio dalam Kerajaan Perpaduan di Perak

7 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (EXCO) dalam Kerajaan Perpaduan di negeri Perak hari ini.

Mereka terdiri daripada Adun Sungai Rapat Datuk Seri Dr Ir Mohamad Nizar Jamaluddin (AMANAH) memegang portfolio Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam.

Manakala ADUN daripada DAP iaitu dari Sungkai A Sivanesan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India) manakala Adun Jalong Loh Sze Yee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor.

Adun Aulong Teh Kok Lim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Adun Teja (PKR) Sandrea Ng Shy Ching sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Adun Belanja Khairudin Abu Hanipah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

Adun PKR Tualang Sekah Mohd Azlan Helmi Helmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO manakala Adun Pasir Bedamar Woo Kah Leong diantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad mengumumkan portfolio itu dua hari selepas beliau dilantik menerajui kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC.

Adun Lintang yang juga bekas EXCO kerajaan negeri Perak sebelum Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan pada 17 Oktober lalu, Datuk Mohd Zolkafly Harun pula bertanggungjawab bagi portfolio Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan.

Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dipegang Adun Temengor Salbiah Mohamed.

Senarai portfolio itu diumumkan Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Kerajaan negeri Perak terbentuk berkonsepkan kerajaan campuran yang dinamakan sementara sebagai ‘Kerajaan Perpaduan Perak’ iaitu hasil gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Saarani berkata, kesemua EXCO Perak telah mengadakan mesyuarat kali pertama pagi tadi bagi membincang dan memutuskan beberapa perkara penting.

Antaranya, bersetuju supaya Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan akan diadakan pada 19 Disember ini bagi pembentangan Bajet 2023 serta perbahasan mengenai enakmen peruntukan larangan ahli dewan melompat parti.

Baca juga; Pejuang terima pilihan rakyat doa Malaysia pulih dengan kerajaan baru

Baca juga: Cristiano Ronaldo individu pertama di dunia miliki 500 juta pengikut di Instagram