Malaysia Dateline

7 dalil kenapa tawaran Mahiaddin perlu ditolak

Tiba-tiba di tengah-tengah kemelut kepimpinan negara dan persoalan keabsahahan beliau sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mengemukakan satu tawaran dengan satu tujuan bertemakan – Kekal Kerajaan Kekal Perdana Menteri.

Tawaran ini dilengkapi dengan beberapa pakej yang telah melebihi nilai harga durian bertatahkan permata. Tawaran kedudukan (taraf Ketua Pembangkang), undi 18, mengiktiraf peranan pembangkang (semak dan imbang), peruntukan sama banyak bagi setiap ahli parlimen, penggal terhad sebagai Perdana Menteri, penggubalan Rang Undang-undang anti lompat dan banyak lagi tawaran yang membuat penulis meloya mendengarnya.

Sekiranya Ketua Pembangkang dan semua MP (termasuk Umno) yang telah memperakukan penolakan terhadap TSMY dan kerajaan PN menerima tawaran ini, maka selamanyalah PN akan terus berkuasa tanpa keabsahan, meremehkan perlembagaan dan proses demokrasi parlimen.

Berkuasa terus untuk memporakperandakan negara dengan jumlah kementerian yang terlalu banyak dan menteri dalam kalangan yang tidak kompeten, dasar yang amat lemah, tidak praktikal dan tidak mempunyai nilai strategik yang tinggi. Sekiranya tawaran TSMY dan pasukannya diterima maka selamanya PH dan MP Umno yang bersama Dato Seri Zahid Hamidi akan dikenang sebagai kalangan yang tidak berperinsip, menggadaikan maruah diri dan punca kerosakan berterusan negara.

Dalil 1: Derhaka kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan melangkaui baginda dalam proses penarikan perisytiharan darurat dan mengelirukan parlimen dalam hal berkaitan dengannya. Pada masa yang sama ada pula kenyataan yang merendahkan martabat dan kedudukan YDPA dengan menganggap seolah-oleh baginda tidak mempunyai maklumat yang lengkap sebelum mengeluarkan titah baginda. Kenyataan yang menyatakan YDPA mesti mendapatkan penjelasan daripada kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah adalah dengan nada yang amat sinis kepada YDPA.

Dalil 2: Rasuah terbuka (Open Corruption). Iaitu penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Kenapa tiba-tiba Ketua Pembangkang ditawar kedudukan setara dengan seorang Menteri Kanan? Sudah pastilah untuk menutup mulut dan mematahkan gerakannya. Jawatan tersebut sudah pasti dengan habuan tertentu termasuk elaun, kemudahan setaraf menteri dan lain-lain kemudahan yang tidak diperolehi masakini. Kenapa ia tiba-tiba, di saat ini dan apakah tujuannya? Apa pula ulasan atau tindakan SPRM jika dihubungkan dengan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 mengenai tindakan menawar/memberi suapan dan Seksyen 23 Akta SPRM berkaian menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam. Rakyat mengharapkan tafsiran Akta SPRM yang telus dan tidak mengikut darjat serta kedudukan. Rakyat yakin SPRM adalah tidak akan bersikap menyebelah mana-mana pihak.

Dalil 3: Rang Undang-undang anti lompat, setelah puas mengambil katak-katak yang melompat dan terlompat-lompat, baharulah undang-undang anti lompat kononnya hendak dibawa ke parlimen. Sedangkan pada bulan Mac 2021 Menteri di JPM (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen) telah menyatakan bahawa undang-undang anti-lompat sukar dilakukan melainkan berlaku pindaan kepada perlembagaan. Kenapa tiba-tiba sahaja perkara (gerakan lompat-melompat) yang telah menjayakan scheme of things pembentukan kerajaan PN baharulah tercetus ilham untuk melaksanakankan penggubalan rang undang-undang anti lompat. Sedangkan pembentukan kerajaan PN antaranya adalah hasil skim lompatan.

Dalil 4: Kejujuran dalam persahabatan hanya demi kepentingan. Bagaimana ketika terbuang dari Umno, beliau telah dikutip oleh rakan-rakan dalam PKR dan dibantu serta diberikan ruang pentas untuk berucap sebelum PBBM ditubuhkan, bersama membentuk kerajaan PH dengan menggunakan simbol PKR, dan bersetuju pula memperoleh kedudukan dalam kabinet dengan jumlah keanggotaan yang tidak kurang dari parti-parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam PRU14. Kemudian mengkhianati persahabatan dan membawa lari bersama isi rumah rakannya semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalil 5: Pentadbiran yang penuh kegagalan. Adakah dengan tawaran peruntukan sama rata dalam kalangan ahli parlimen akan mengaburi mata Ketua Pembangkang dan ahli parlimen pembangkang dan Umno yang menolak kepimpinan TSMY. Adakah dengan mendapat peruntukan ini maka sanggup duduk sebaris dengan sebuah pentadbiran yang gagal dalam menangani kemelut ekonomi dan pakej yang penuh kegagalan dalam menangani pandemik COVID-19. Walaupun darurat telah diisytiharkan, namun dengan dasar flip flop pentadbiran ini, kes makin meningkat dan tiada pun kelihatan kes akan berkurangan dengan pendekatan sedia ada. Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) juga turut telah digunakan.

Dalil 6: Tiada Majoriti tapi berlagak dan bergaya seolah-olah ada dua pertiga majoriti. Dengan warkah yang menzahirkan tidah menyokong dan mendukung lagi TSMY sebagai PM dan tidak menyokong kerajaan PN kepada YDP oleh MP Umno dan juga oleh semua parti-parti gabungan PH, beliau masih lagi mahu mempertahankan kerajaan yang telah roboh kerana kehilangan majoriti. Teorem Matematik apakah yang digunakan bagi menunjukan PN memiliki majoriti.

Dalil 7: Sesungguhnya gula-gula yang manis amat berbahaya: Gula-gula kedudukan, peruntukan, pindaan RUU, pengiktirafan dan sebagainya dalam keadaan dan kedudukan yang sangat kronik tidak berguna. Kaki telah hendak dipotong, usus telah hendak dikerat, mata telah rabun kerana paras gula kronik dalam darah, barah telah merebak keseluruh organ, nafas sudah terhenti-henti barulah meminta-minta dan merayu-rayu memohon simpati. Cerminlah diri bila mengatakan konon tidak mahu bersama kleptokrat, siapa pula yang disekeliling anda? Siapakah golongan-golongan awal dari Umno yang tiba-tiba melompat menyertai Bersatu dan sekarang merupakan pembesar-pembesar kerajaan PN? Kapal sudah pecah dan sudah pun tenggelam, barulah mencari pelampong untuk menyelamat diri.

Sepatutnya tawaran ini tidak berlaku disaat dan detik ini. Tawaran ini ada muslihatnya. Tawaran oleh gerakan pengkhianatan adalah sebenarnya tawaran palsu, laksana ketika pedang telah berada ditengkuk. Malah jika seorang itu jujur dan ikhlas, maka dia tidak akan mengkhianati tangan-tangan yang menyelamatkannya ketidakdamparan dalam kedahagaan ketika ‘dibuang’ dari Umno. Jika dia memahami prinsip demokrasi yang sebenar maka dia perlu faham bahawa yang mempromosi lompatan adalah beliau dan para pengkhianat langkah Sheraton, lalu menjatuhkan secara amat tidak bermaruah sebuah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat.

Walau-apapun Langkah Sheraton adalah langkah khianat, maka tugas kita adalah mengembalikan sebuah kerajaan yang lebih adil, telus, saksama dan mampu membetulkan kerosakan besar hasil langkah Sheraton. Biarkan tawaran ini. Bina semula negara diatas keruntuhan yang telah dilakukan, bagi yang sedar diri buatlah pilihan terbaik demi untuk rakyat dan negara; iaitu berundur dan berundurlah dengan segera.

 

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pandangan penulisan dan tidak menggambarkan pendirian akademi.