7 individu tidak mengaku salah tidak hormat lagu kebangsaan

7 individu tidak mengaku salah  tidak hormat lagu kebangsaan

Tujuh individu iaitu seorang wanita dan enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuching hari ini ekoran didakwa tidak menghormati lagu Negaraku.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang menyatakan kesemua mereka tidak menghormati lagu Negaraku pada kejadian 29 September lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi kemudian menetapkan 11 November depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan setiap seorang,” ujar Majistret Zubaidah.

Individu berkenaan ialah Andrew Chong, 33, Kon Tai Keong, 37, Leong Shaow Tung, 43, Bong Sak Sin, 44, Tan Kok Chiang dan Pui Ping Ping, masing-masing berusia 46 tahun serta Phang Ngin Pen, 64.

Mereka didakwa tidak berdiri sebagai tanda hormat ketika Lagu Kebangsaan dimainkan pada satu majlis makan malam aktivis pada 27 September, pukul 7.15 malam, di hotel di Jalan Ban Hock.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Mengikut akta itu, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan, kerana menunjukkan sikap tidak hormat terhadap Lagu Kebangsaan.

Terdahulu pada 30 September, mereka dipanggil memberi keterangan di Pusat Sehenti Balai Polis Daerah Kuching, Simpang Tiga.

Pada Jumaat, 29 September lalu, tular video sekumpulan individu dipercayai ahli atau penyokong Sarawak for Sarawakians (S4S), sekadar duduk ketika Lagu Kebangsaan berkumandang pada satu majlis di sini.

Kesemua tertuduh diwakili peguam, Arthur Lee dan Ian Lee.