Malaysia Dateline

7 kertas siasatan hina agama, kaum, institusi diraja dibuka

Tujuh kertas siasatan telah dibuka berhubung penyebaran kandungan berunsur penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja bagi tempoh 1 Dis tahun lepas hingga 6 Jan lepas, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan diambil menerusi penubuhan Pasukan Khas Menangani Berita Palsu yang diwujudkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada 1 Dis tahun lepas, bertujuan memantau penyebaran berita palsu di media yang dilihat mempunyai kesan negatif terhadap sistem politik ekonomi sosial, agama dan budaya.

“Tujuh kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan (diserah kepada) Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya. Kesalahan melibatkan artikel berkaitan agama, kaum dan institusi diraja.

“Oleh itu, kita telah bekerjasama dengan PDRM dan AGC untuk memastikan sebarang kesalahan termasuk berita palsu, ucapan kebencian berkaitan dengan tiga hal ini diambil tindakan tegas,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Penyiaran Johor Ramlee Johari dan Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Johor Nor Baizura Basri.

Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat akses masyarakat kepada dunia digital menerusi pelbagai platform media sosial yang tersedia pada masa kini.

7 kertas siasatan hina agama, kaum, institusi diraja dibuka

“Sekarang media sosial sudah menjadi platform yang diguna pakai semua orang, kita tidak boleh hentikan akses mereka dan itu bukan hasrat kerajaan. Sebaliknya, kita mahu mendidik dan meningkatkan literasi digital supaya rakyat menjadi lebih celik digital untuk mendapatkan info sahih, khususnya melalui agensi berita tempatan seperti RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KKD bersedia mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi tempatan untuk menaik taraf mutu perkhidmatan rangkaian Internet khususnya di kawasan kampus universiti awam dan swasta di seluruh negara.

“Kalau mana-mana universiti berdepan masalah rangkaian Internet, saya alu-alukan pihak universiti hubungi kami supaya kita boleh adakan mesyuarat, kami akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi agar kampus universiti ada perkhidmatan rangkaian yang bagus untuk mahasiswa.

“Ini merupakan satu keperluan asas, utiliti yang diperlukan semua lapisan masyarakat khususnya mahasiswa, MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk memastikan kampus mempunyai rangkaian, jadi kami akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media semalam yang memetik Eksekutif Umum Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya 2022 Muhammad Noraiman Zulkifli sebagai berkata masalah capaian Internet di institut pengajian tinggi masih tiada jalan penyelesaian walaupun banyak pihak mendakwa kemudahan itu kini semakin baik dan mencapai tahap memuaskan.

Terdahulu, dalam satu temu bual bersama Johor FM hari ini menerusi program ‘Istimewa YB Apa Cerita?’ Teo berkata penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dapat membantu menyekat pengaliran keluar wang mangsa penipuan dalam talian.

“Ia bertindak sebagai pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), MCMC, institusi-institusi perbankan serta syarikat telekomunikasi bagi menerima laporan daripada mangsa-mangsa penipuan dalam talian.

“Kementerian akan memastikan kerjasama ini akan terus dijalankan dan diperkasakan bagi melindungi pengguna. Mangsa penipuan dalam talian boleh menghubungi talian bank masing-masing atau talian NSRC di talian 997 yang boleh dihubungi dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari, sekiranya menyedari telah menjadi mangsa scam,” katanya.

— BERNAMA

Baca juga : Elak kebencian kaum, agama meresap dalam anak muda – Ambil perhatian titah Sultan Nazrin