Malaysia Dateline

7 parti pembangkang desak Kabinet PM letak jawatan

Tujuh parti pembangkang sependapat mendesak Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan seluruh jemaah menteri meletakkan jawatan secara terhormat sekarang.

Pembangkang kesal dan membantah keras terhadap keputusan Perdana Menteri mengarahkan pengangguhan sidang khas hari ini walaupun jumlah kes positif membabitkan Parlimen hanya 0.9% setakat 29 Julai.

“Keputusan untuk tidak membentang dan membahas semua Ordinan Darurat seperti yang telah diperkenan dan dititahkan Seri Paduka Baginda adalah keputusan Jemaah Menteri maka, berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, seluruh Jemaah Menteri bertanggungjawab secara bersama ke atas krisis Perlembagaan yang telah berlaku ini.

“Tindakan penangguhan ini langsung tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, proses demokrasi berparlimen dan terus membelakangi kenyataan media Istana Negara,” kata PKR, AMANAH, DAP, UPKO, Muda Parti Sarawak Bersatu, serta bebas dalam satu kenyataan.

Seri Paduka Baginda telah menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dan YBhg Tan Sri Idrus bin Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa kenyataan YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.