Malaysia Dateline

7 petunjuk penting PRN Melaka

1. Sebagaimana dijangka, apabila penyokong Pakatan Harapan mengambil sikap tidak keluar mengundi, ia telah menyebabkan mereka kalah. Dari 89.9 peratus keluar mengundi pada PRU 14 lalu kepada hanya 65.85 peratus sahaja dalam PRN ini. Ia telah mengesahkan jangkaan sebelum ini. Oleh itu, apabila mood untuk mengundi kembali semula nantiu, peluang PH untuk bangkit kembali adalah cerah.

2. Barisan Nasional telah membuat keputusan yang tepat apabila bertanding bersendirian dan menolak kerjasama dengan Bersatu dan Pas. BN dijangka bakal mempertegaskan sikap ini dalam PRU akan datang. Oleh itu, negara akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru lagi dalam PRU 15 nanti.

3. Perikatan Nasional telah mempamirkan bahawa mereka mendapat sokongan yang baik dalam PRN ini. Dari gabungan parti yang dianggap tidak akan membuat sebarang cabaran dalam PRN ini kepada pencabar utama kerusi BN, ia satu pencapaian yang membanggakan. PN dijangka akan yakin bersendirian tanpa pedulikan Umno lagi selepas ini terutama dalam PRU 15.

4. Adly Zahari terbukti popular di Melaka. Beliau berjaya mempertahankan kerusinya di Bukit Katil namun tidak cukup kuat untuk memberikan cukup undi kepada calon-calon PH yang lain.

5. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak terbukti masih kuat dalam Umno dan bacaan mereka tentang mood rakyat masih tepat. Walaupun berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah dan Najib telah dijatuhkan hukuman bersalah, pengundi masih menerima mereka kerana mereka anggap kedua-duanya telah menerima hukuman apabila kerajaan BN jatuh pada 2018 lalu.

6. Tan Sri Mahiaddin Md Yassin juga terbukti mempunyai bacaan politik yang baik. Tindakan beliau memberikan pelbagai bantuan terutama kepada orang muda semasa pandemik Covid-19 telah membuahkan hasil yang baik. Dengan hanya membawa muka beliau dalam kempen PRN ini, pengundi muda di Melaka memberikan undi kepada calon-calon dari parti gabungan pimpinan beliau.

7. Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberikan jiwa dan raga beliau sepenuhnya dalam PRN Melaka ini. Keputusan PH banyak didominasikan oleh tokoh-tokoh lain dalam PRN ini. Ketika semua pemimpin berkumpul untuk memberikan ucapan di malam terakhir kempen, Anwar hanya menghantarkan rakaman video beliau. Apakah beliau berjaya buktikan, oleh kerana dia tidak bersama sepenuhnya menyebabkan PH gagal, atau orang melihat kepimpinan Anwar tidak berapa berkesan berbanding kepimpinan Mahathir dalam PRU 14 lalu di mana Melaka antara pusat gelombang kebangkitan PH dahulu.

Malaysia Dateline
21 November 2021