Malaysia Dateline

Tujuh teras strategik capai Kemakmuran Bersama

Bagi mencapai matlamat Kemakmuran Bersama, kerajaan memikirkan sekurang-kurangnya tujuh teras strategik yang perlu dicapai untuk memastikan seluruh rakyat merasai nikmat lebih adil dan teragih.

Matlamat Kemakmuran Bersama itu adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada semua rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata, perkara pertama adalah penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara supaya kekal relevan dan memenuhi kehendak ekonomi masa depan.

“Penggunaan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pengurusan yang lebih terkini dan efektif, pemakaian ekonomi digital secara menyeluruh dan peningkatan kemahiran pekerja yang bernilai tinggi adalah penting untuk melonjakkan ekonomi negara ke aras yang lebih tinggi.

“Kedua, Sektor Pertumbuhan Baharu bagi menjana ekonomi negara kepada aras yang lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman, Malaysia harus meneliti dan mempelopori sektor-sektor pertumbuhan baharu. Kita tidak boleh terperangkap dalam sektor tradisional dan cara kerja yang lama.

“Ketiga adalah reformasi bakat dan sumber tenaga negara. Proses peningkatan keupayaan dan kemahiran pekerja Malaysia memerlukan perubahan yang radikal bagi memastikan kita boleh menghasil tenaga kerja yang lebih produktif yang memberikan nilai pendapatan yang tinggi
Sektor Pertumbuhan Baharu,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kesejahteraan sosial

Sementara itu, Tun Mahathir turut menekankan tentang memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang lebih baik.

“Selain memperkenalkan sektor pertumbuhan baharu, pembaikan ekosistem perniagaan dan perindustrian dan peningkatan keupayaan sumber manusia; kita akan menentukan polisi dan program yang dapat memberi pendapatan yang lebih adil kepada pekerja supaya kenikmatan dapat dirasai oleh mereka.

“Kita juga akan menyediakan peluang yang lebih menyeluruh kepada pekerja tempatan di semua peringkat di mana ia akan menjadi keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, pengukuhan kesejahteraan sosial turut dilihat sebagai tujuh teras strategik yang utama menjadikan kerajaan mempunyai tanggungjawab kepada golongan yang kurang berkemampuan, terpinggir dan berpendapatan rendah.

“Polisi dan program ke arah kesejahteraan sosial yang lebih menyeluruh harus diperkukuhkan berdasarkan prinsip memenuhi ekonomi keperluan (need base). Kita tidak mahu semasa mengejar kemakmuran negara ada kalangan rakyat yang tertinggal.

“Walaupun begitu, usaha ini bukan bermaksud untuk negara menyuap nasi ke mulut mereka namun dengan tujuan membantu membangun keupayaan mereka keluar dari kekurangan dan keadaan yang berisiko,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pembangunan wilayah yang inklusif dilihat penting dalam mencipta kemakmuran bersama.

“Pembangunan ekonomi negara bukan hanya pada beberapa wilayah negara yang dibangunkan namun ke arah pembangunan ekonomi yang inklusif dan teragih (distributive).

“Pembangunan pusat-pusat ekonomi yang lebih menyeluruh diseluruh pelusuk negara harus diusahakan supaya jurang dalam bandar, antara bandar dan desa, negeri yang maju dan terkebelakang dan antara Semenanjung dan Negeri-negeri Borneo harus dikurangkan,” katanya.

Tun Mahathir juga menekankan tentang peningkatan modal sosial masyarakat bagi menyokong pembangunan ekonomi.

” Untuk meningkatkan pertumbuhan, kita memerlukan masyarakat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementingkan perpaduan dikalangan kita.

“Peningkatan modal sosial dan struktur sokongan sosial yang utuh adalah penting untuk memastikan negara dapat pesat membangun. Jati diri dan patriotisma golongan muda juga adalah amat penting bagi memastikan masa depan negara yang cemerlang,” katanya lagi.