70 peratus rumah dibina tidak mampu dimiliki majoriti rakyat

Berlaku situasi lebihan bekalan rumah bagi jenis kos tinggi berharga lebih RM500,000 dan pada masa sama pasaran hartanah kekurangan bekalan rumah mampu milik yang berharga di bawah RM250,000 seperti terkandung dalam Laporan Tahunan 2015 Bank Negara Malaysia (BNM).

70 peratus rumah dibina tidak mampu dimiliki majoriti rakyat

Rakyat bukan tidak mahu memiliki rumah tetapi lebih 70 peratus rumah yang ditawarkan dijual dengan harga di luar kemampuan majoriti rakyat di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda Amanah Nasional, Mohd Ammar Atan.

Menurutnya, sebahagian besar unit kediaman yang siap dan dalam pembinaan pada masa ini tidak mempunyai permintaan atau pembeli kerana faktor harga yang mahal.  

Ammar AtanBeliau berkata, berlaku situasi lebihan bekalan rumah bagi jenis kos tinggi berharga lebih RM500,000 dan pada masa sama pasaran hartanah kekurangan bekalan rumah mampu milik yang berharga di bawah RM250,000 seperti terkandung dalam Laporan Tahunan 2015 Bank Negara Malaysia (BNM).

“Ini mendukacitakan Pemuda Amanah apabila harga rumah meningkat lebih cepat daripada pendapatan antara tahun 2009 dan 2014.

“Trend semenjak krisis kewangan global pada 2009 menunjukkan pasaran perumahan Malaysia telah condong ke arah kediaman yang berharga lebih RM500,000,” ujarnya.

Walaupun lebih separuh daripada isi rumah di negara ini memerlukan kediaman berharga RM165,060 dan ke bawah, jelasnya, tetapi hanya 21 peratus daripada rumah-rumah baru berharga di bawah RM250,000 sahaja ditawarkan pada 2014.

“Data juga menunjukkan hanya 5.4 peratus rakyat Malaysia mampu membeli rumah berharga lebih RM500,000 berbanding peratusan sebanyak 36 peratus jenis rumah itu yang dilancarkan setiap tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Ammar memberitahu, sebanyak 13,193 unit kediaman bernilai RM8.27 bilion masih belum terjual pada suku ketiga tahun 2016 mengikut data Pusat Maklumat Harta Negara (NAPIC).

“Pada masa sama 58,300 unit kediaman berstatus dalam pembinaan tidak terjual manakala 13,576 unit kediaman dilancarkan tetapi belum dibina tidak terjual,” ujarnya.

Beliau berkata, angka unit kediaman berharga lebih RM500,000 yang tidak terjual itu adalah lebih tinggi berbanding tahun 2015 dan akhir 2014.

Sehubungan itu, tegasnya, kerajaan perlu mengawal peratusan jenis perumahan mengikut harga selaras dengan realiti ekonomi rakyat bagi memastikan sektor perumahan di negara ini mampu menepati maqasid syariah untuk semua lapisan rakyat. 

“Pemuda Amanah menyedari keperluan untuk Malaysia membina lebih banyak rumah selaras dengan perkembangan populasi rakyat saban tahun.

“Maka untuk memastikan tidak berlakunya defisit permintaan, peningkatan jumlah rumah di Malaysia perlu bertambah sebanyak 200, 000 unit kediaman setiap tahun kerana pertumbuhan pesat pembandaran dan peningkatan populasi,” jelasnya lagi.

Sementara itu, semakan Malaysia Dateline mendapati cadangan projek pembinaan di Kuala Lumpur semakin menjurus kepada segmen hartanah mewah termasuk merobohkan penempatan kos rendah dan menukar zon kegunaan tanah daripada kediaman kepada komersial.

Trend tersebut dapat dilihat pada kekerapan notis di bawah Kaedah 5 Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 Kaedah-kaedah Rancangan (Pembangunan) 1970 yang diterbitkan di akhbar tempatan.

Antaranya, cadangan merobohkan blok-blok pangsa sedia ada di Flat Sri Pahang bagi tujuan pembinaan pangsapuri melibatkan penambahan kepadatan penduduk daripada 20 orang seekar kepada 1,327 orang seekar.

Turut akan dilaksanakan rancangan pembangunan perdagangan bercampur empat blok pangsapuri servis 43 hingga 45 tingkat berjumlah 1,633 unit dan satu blok pejabat setinggi 39 tingkat berdekatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Anggerik di Jalan Kelang Lama.

Foto:
> Trend membina unit kediaman mewah dan komersial di ibu negara berlaku ketika unit kos rumah mampu milik tidak ditambah.