7,000 mahasiswa UM tuntut pemulangan yuran RM120

7,000 mahasiswa UM tuntut pemulangan yuran RM120
Sebahagian mahasiswa yang mewakili rakan-rakan mereka mengadakan protes untuk mendesak pihak pentadbiran Universiti Malaya menyelesaikan masalah mereka dengan segera.

Suara Siswa Universiti Malaya hari ini menggesa pihak Pentadbiran Universiti mengambil tindakan terhadap kolej kediaman yang mewajibkan 7,000 pelajar membayar yuran Majlis Makan Malam  sebanyak RM120 biarpun tanpa persetujuan.

Pengerusi Angkatan Mahasiswa, Muhammad Ahnaf Mohd Yunus berkata yuran sebanyak RM120 yang diwajibkan setahun sekali itu sebagai satu paksaan dan membebankan para pelajar.

Muhammad Ahnaf Mohd Yunus

Katanya ia sebagai satu tindakan yang tidak wajar kerana bayaran itu telah dikreditkan ke akaun mereka tanpa persetujuan.

“Bila dinotiskan dalam resit yuran pengajian bahawa adanya bayaran yuran makan malam, pihak kolej mendakwa ia merupakan satu optional (pilihan) sama ada mahu hadir atau tidak.

“Apa yang kami lihat, jumlah tersebut sudah dikreditkan secara langsung dari akaun pelajar dalam resit yuran pengajian tersebut. Jadi ia bukan lagi satu pilihan.

“Proses menuntut pemulangan wang pula memakan masa agak lama dan tiada ada apa-apa jaminan untuk kami dapat semula wang yang telah diambil,” katanya dalam satu sidang media di perkarangan bangunan Canselori hari ini.

Pelajar dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu turut mendakwa terdapat sebilangan mahasiswa yang diugut tidak diluluskan mendiami kolej untuk semester hadapan jika enggan membayar yuran makan malam tersebut.

Tambahnya, seramai 7,000 mahasiswa dari 11 kolej kediaman terjejas akibat yuran Majlis Makan Malam yang telah dicaj bersama yuran pengajian dan penginapan kolej.

Katanya, kebanyakan mahasiswa tidak mampu menanggung yuran sebanyak RM120 kerana 60 peratus mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti itu adalah kumpulan B40.

“Isu ini sudah disuarakan dari tahun lepas tetapi masih tiada penyelesaian dan tidak diselenggarakan dengan baik.

“Kami menegaskan disini, bayaran dikenakan tanpa persetujuan dan kerelaan merupakan satu paksaan yang dianggap tidak relevan dan tiada nilai perikemanusiaan.

“Sejauh mana pihak kolej telus dalam menggunakan wang sebanyak itu? Sedangkan tahun sebelum ini kami mendapat aduan ada pelajar yang tidak dapat makan, dan pihak katering kehabisan nasi serta lauk.

Wong Yan Ke

“Bagaimana boleh wujudnya isu sebegini? Di mana ketelusan pihak yang memegang tampuk pimpinan makan malam kolej ketika itu?,” soalnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemuda Baharu UM, Wong Yan Ke berkata supaya pihak pentadbiran tidak hipokrit dalam menangani masalah pelajar.

Katanya, pihak Universiti dilihat seakan membantu golongan B40, tetapi pada masa yang sama pihak tersebut mengenakan caj secara paksaan.

“kami rasa ini tindakan yang sangat hipokrit. Kami menggesa pihak berkenaan untuk mengambil serius terhadap kes ini.

“Kes ini sudah berlanjutan selama beberapa tahun dan kami mahukan kata putus.

“Menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik diharap dapat mengambil berat tentang isu ini kerana kami sedar beliau banyak melakukan inisiatif salah satunya dengan menubuhkan food bank,”ujarnya yang merupakan pelajar Fakulti Kejuruteraan.

Inisiatif

Muhammad Ahnaf berkata, bagi menyelesaikan isu ini, mereka telah mencadangkan alternatif penyelesaian dan mendesak pihak-pihak yang disebut untuk bertindak segera.

Beliau menegaskan, sistem semasa yang terus mengenakan bayaran secara automatik terhadap mahasiswa perlu diubah selain mengurangkan bayaran sebanyak RM120 dan perbelanjaan yang tidak perlu.

Tambahnya, perbelanjaan aktiviti ini kebanyakannya tidak diketahui oleh para mahasiswa dan menyarankan supaya mahasiswa menyemak bajet dan laporan kewangan supaya ketelusan dapat dijamin terutama dalam isu kewangan.

“Saya rasa jika Vice Chancellor, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim mengarahkan untuk menarik semula bayaran yang dikenakan terhadap pelajar, tentu pihak kolej akan akur.

“Tahun lepas kami ada bersemuka dengan pengetua di salah satu kolej kediaman, katanya yuran tersebut adalah pilihan dan pelajar boleh buat surat untuk pemulangan duit jika tidak mahu hadir.

“Jika boleh buat surat, mengapa masih ada pelajar yang mendakwa surat mereka tidak diterima?

“Untuk menampung makanan sehari pun susah, kenapa mahu tambah bebanan kami dengan paksaan sebegini,”katanya.

Pagi ini memorandum membantah pembayaran yuran makan malam kolej kediaman sebanyak RM120 telah dihantar pada Pegawai Tadbir Hal Ehwal Pelajar (HEP), Mohammad Izzat Izzuddin Hamdan.

Terdahulu, Suara Siswa mendapat lebih 6000 petisyen dari pelajar-pelajar membantah yuran tersebut namun suara-suara ini didakwa seperti tidak didengari dan diendahkan.