700,000 penduduk Malaysia alami masalah kefungsian teruk, kata Dr Dzulkefly

700,000 penduduk Malaysia alami masalah kefungsian teruk, kata Dr Dzulkefly

Kira-kira 700,000 penduduk di negara ini mengalami masalah kefungsian yang teruk dan berpotensi memerlukan rawatan rehabilitasi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata menurut kajian yang dijalankan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2015, golongan itu adalah mereka yang mengalami penyakit atau masalah perubatan akut atau kronik antaranya serangan jantung, diabetis dan masalah genetik.

“Demografi penduduk ke arah populasi yang lebih tua menjadikan risiko untuk mendapat masalah kefungsian menjadi lebih tinggi. Ini meningkatkan potensi rakyat Malaysia yang mungkin akan memerlukan rawatan rehabilitasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan ketika kunjungan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli berangkat mengunjungi Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) pada Khamis.

Kunjungan Tunku Azizah adalah sebahagian daripada program yang diatur sempena istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang disempurnakan pada Selasa lepas.

Pada majlis itu, Tunku Azizah berkenan berangkat meluangkan masa menyantuni pesakit kanak-kanak di Unit Teknologi Rehab dan Wad Kanak-Kanak hospital tersebut.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa merangkap Pengerusi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HRC Dr Roslan Johari Mohd Ghazali.

Dr Dzulkefly berkata sehingga kini terdapat 69 hospital kelolaan kementerian itu di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan pakar rehabilitasi.

Katanya, seramai 3,324 kakitangan terlatih dalam bidang rehabilitasi terdiri daripada jurupulih anggota, carakerja, pertuturan dan pendengaran selain jururawat, juruteknik serta ahli psikologi klinikal.

Kes yang lebih kompleks akan dirujuk ke HRC yang menyediakan rawatan rehabilitasi yang intensif, katanya.