Malaysia Dateline

Buang bahan kimia haram tiada kompromi di Pulau Pinang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membuang bahan kimia secara haram kata, Exco Kerajaan Negeri Phee Boon Poh.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembuangan tersebut.

“Pembuangan bahan kimia di Bukit Teh, Seberang Perai Tengah merupakan suatu perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Adalah difahamkan terdapat pembuangan sisa bahan kimia di kawasan tersebut oleh beberapa buah kontena yang datangnya dari luar negara.

“Sehubungan itu, tindakan tersebut tidak harus dibiarkan berleluasa kerana ia mampu memberi kesan buruk pada masa yang akan datang, ” tegasnya.

Ujarnya lagi, hasil siasatan yang dibuat mendapati kegiatan pembuangan sisa bahan kimia di kawasan tersebut telah berlarutan sejak 10 tahun yang lalu.

“Pembuangan sisa bahan kimia tersebut boleh mengundang bahaya sekiranya ia terus berlarutan.

“Sebelum ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang telah pun mengesahkan terdapat pelbagai jenis sisa bahan kimia yang dibuang di ladang kelapa sawit di Bukit Teh.

“Kejadian pencemaran sisa bahan kimia yang berlaku di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini harus dijadikan iktibar oleh semua pihak, ” tambahnya.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri juga sedang menjalankan siasatan membabitkan dakwaan beberapa buah sungai yang turut tercemar.

Malah dakwa beliau lagi, isu pencemaran dan pembuangan sisa bahan kimia tidak harus dipandang ringan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.