702,319 pengedar dadah ditangkap dari 2014 hingga Okt 2017 – TPM

702,319 pengedar dadah ditangkap dari 2014 hingga Okt 2017 – TPM

Seramai 702,319 pengedar dadah ditangkap di negara ini dalam tempoh 2014 hingga Oktober 2017, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata berdasarkan statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), seramai 21,731 pengedar ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Daripada jumlah itu, seramai 68 orang adalah ‘raja dadah’ manakala 27,914 orang adalah warganegagara asing, katanya pada sidang berita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bil 1/2017 di Bangunan Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jumlah barang pengedaran dadah yang disita adalah bernilai RM346 juta manakala yang dilucut hak pula bernilai RM46 juta.

Mereka yang ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Tangkapan adalah 3,968 (tangkapan), 3,336 (tahanan) dan 252 sekatan, katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan yang diedarkan selepas mesyuarat tersebut, Ahmad Zahid berkata fokus utama mesyuarat jawatankuasa itu ialah pelaksanaan tindakan membanteras dan memerangi ancaman gejala dadah dengan serius bagi merealisasikan usaha kerajaan untuk melindungi rakyat daripada terus terjebak.

Beliau berkata enam kertas pertimbangan dan dua kertas makluman dibincangkan termasuk keberhasilan program penguatkuasaan, pendekatan baharu dalam penyelesaian masalah dadah dan penubuhan sekolah integrasi di pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Mesyuarat JKMD merupakan jawatankuasa tertinggi yang ditubuhkan di bawah arahan Perdana Menteri No 1 Tahun 2004 di samping tiga jawatankuasa bertindak yang akan melaporkan kepada JKMD,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Dasar Dadah Negara telah diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac 2017 dan diselaraskan oleh AADK.

Dasar berkenaan, antara lain, menetapkan bahawa kuasa penguatkuasaan dan pelaksanaan adalah di bawah bidang kuasa 10 kementerian utama dan 15 agensi serta jabatan kerajaan, katanya.