Malaysia Dateline

Isu Che Miera: Amin pertimbang saman fitnah Lokman

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad hari ini mempertimbangkan kemungkinan untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam rentetan isu  dakwaan jururawat yang dikenali sebagai Che Miera.

“Tadi saya telah membuat satu laporan polis terhadap Lokman Noor Adam. InsyaAllah nanti akan bertemu peguam untuk membincangkan saman fitnah terhadap beliau,” dipetik daripada hantaran di Facebook beliau lewat petang tadi.

Terdahulu, pemimpin PKR berkenaan membuat laporan polis kerana menyifatkan tuduhan Lokman itu boleh memberi ancaman kepadanya.

Sehubungan itu, Amin telah meminta pihak polis menjalankan siasatan terhadap fitnah pemimpin Umno tersebut.

Menurut Amin, Lokman melalui laman Facebook semalam telah memfitnah beliau kononnya mengugut Che Miera dalam isu anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Jelas saya tidak menggertak atau mengugut gadis itu dan tuduhan Lokman itu boleh memberi implikasi besar dan menggangu proses siasatan kes berkenaan,” dipetik Utusan Online.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Amin memberitahu beliau mula menghantar mesej kepada Che Miera dan memintanya tampil menjadi saksi dalam inkues Muhamad Adib selepas jururawat itu mengeluarkan kenyataan di Facebook bahawa Adib telah dipukul.

“Saya tidak pernah mengenali cik Miera ini. Saya mendapat nombor beliau daripada garis masa FB beliau yang tertera satu iklan perniagaan beliau yang mengandungi butiran untuk dihubungi.

“Saya yakin SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) boleh mengesan cik Miera ini berdasarkan nombor telefon yang ada. Tujuan saya menghubungi beliau adalah untuk mengesahkan komennya yang dibuat di FB dan menyatakan kesediaan saya membantunya memberi keterangan di dalam inkues kes kematian Adib yang sedang berlangsung.

“Jika komentar FB beliau tidak tepat, beliau mesti bertanggungjawab membetulkannya kerana komen awal beliau telah disebar luas. Isu yang dikomen beliau adalah sangat serius dan mempunyai implikasi besar dalam banyak perkara,” kata Amin lagi.

Dakwaan Che Miera yang tular sehingga mengheret kemungkinan Lokman disaman oleh Amin.