Memastikan PH bukan kerajaan satu penggal

Ahmad Lutfi OthmanPendarahan mata saya berlaku lagi. Diabetik retinopati yang mula dikesan hampir lima tahun lalu bertambah serius. Menurut pakar, kualiti penglihatan kali ini terjejas teruk dan mungkin mengambil masa dua bulan untuk pulih. Dia mencadangkan operasi penbedahan untuk membuang darah. Namun saya keberatan dan memilih untuk bersabar dalam kesamaran.

Saya terpaksa menulis dengan bantuan anak dan rakan. Namun upaya menulis memerlukan lebih daripada sekadar mata yang tajam dan sihat. Ia kombinasi renungan, pemikiran dan pembacaan. Penglihatan yang kabur ditambah buruk dengan gerak fizikal yang lesu dan masalah jantung berpanjangan.

Lazimnya, selama tiga tahun menjalani proses dialisis tiga kali seminggu yang memakan masa empat jam satu sesi, saya memanfaatkan masa rawatan dengan membaca dan sesekali menulis. Banyak buku klasik yang mempengaruhi pemikiran dan hidup, saya ulangi di atas kerusi rawatan. Kini setakat mendengar rakaman ucapan dan menonton Youtube. Pembacaan cepat mengundang pening dan sakit kepala. Dengan penglihatan kabur, mata tambah sukar menangkap imej abjad.

Teman-teman pula semakin jarang menziarahi. Keuzuran saya bukan berita lagi. Mungkin mereka tidak mahu menganggu masa rehat saya yang lumayan. Saya juga jarang menjawab panggilan telefon. Kesannya, dalam seminggu ada kalanya henfon murah saya itu langsung tidak berdering. Saya harus menyesuaikan diri dengan suasana bilik yang sunyi, bunyi kipas agak bising dan berbicara atau berdebat dalam hati. Sekali gus mencuba serasikan dengan hakikat dunia yang bakal ditinggalkan bila-bila masa. Ya, keuzuran itu suatu persiapan menghadapi mati.

Dunia luar suasana nampak seperti bingit dan kelam-kabut. Panas menggigit, sesekali dibilas hujan lebat dan guruh berdentum. Sebenarnya kebingitan itu bukan difaktorkan persekitaran fizikal sahaja tetapi lebih disumbangkan oleh gelodak rasa dan riuh-rendah pergolakan semasa.

Ahmad Lutfi Othman menjalani dialisis tiga kali seminggu dengan tempoh empat jam setiap sesi sejak tiga tahun lalu.

Usia kerajaan baharu menghampiri genap setahun, Mei depan. Saya masih dikepung rasa gembira dan bersyukur atas tumbangnya regim kleptokrasi. Allah memberi kesempatan amat berharga di hujung julai usia ini menyaksikan kerajaan bertukar selepas enam dasawarsa merdeka. Bukan sekadar pergantian regim tetapi hendaknya disusuli rapat pembaharuan sistem dan perubahan institusi.

Ada pesan yang sampai ke cuping telinga saya, “cukuplah bernostalgia dengan PRU14, realiti kini berbeda, rakyat mulai marah tidak sabar lagi dengan janji-janji perubahan.” Mereka menunjukkan contoh keputusan tiga PRK terdekat, Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau sebagai bukti kemungkinan Pakatan Harapan hanya kerajaan sepenggal. BN mengekalkan penguasaan dengan majoriti bertambah. Di Semenyih, kerusi Pakatan Harapan dirampas. Malah ada penganalisis menyimpulkan, harapan rakyat kini tinggal angan-angan.

Dalam keterbatasan ini, informasi saya terbatas, pergaulan cukup terhad, tiada lagi kesempatan untuk turun ke lapangan, dan saya hampir tidak menemui rakan-rakan lama yang kini memegang jawatan strategik dalam pentadbiran. Mereka bergelut untuk merealisasikan idealisme, dihambat kekurangan pengalaman dan kekangan birokrasi, juga kemungkinan perangkap sabotaj.

Penggal pertama selepas kerajaan bertukar memang penuh dugaan. Menangani bagasi jelik regim terdahulu, ditambah kesukaran mengatur jentera pentadbiran yang masih berdaki, selain kantung negara yang teruk diseleweng. Umno-BN pula sebagai saingan terdekat dipercayai masih menyimpan dana mencukupi sebagai persiapan untuk merampas semula Putrajaya, apatah lagi dengan dukungan kuat Pas. PRU15 adalah peluang terbaik buat pembangkang sebelum PH memperkukuh pengaruh.

Justeru, sukar untuk saya membuat penilaian terhadap khabar yang ditiup angin, atau mesej yang bertebaran dalam media sosial. Saya lebih berpandukan nurani dan kata hati, selain iktibar gumpalan pengalaman lalu. Sukar untuk mentafsir kajian-kajian yang dibuat tetapi saya tetap bercita-cita besar agar imiginasi dan hasrat saya menjadi realiti. Kerajaan yang bertekad melaksanakan pembaharuan ini tidak seharusnya dibiarkan tersungkur. Apakah hanya kerana salahfaham, tohmahan, fitnah, berita palsu, cetek pengalaman, lemah penyampaian, maka ia perlu digantikan dengan gabungan parti yang terbukti korup dan tidak demokratik?

Benar, khalayak semakin kritikal. Mereka mudah cenderung kepada kelompok anti-establishment. Status sebagai pemerintah tidak banyak membantu PH mengukuhkan pengaruh. Selalunya, pihak kerajaan mempunyai kelebihan untuk menarik sokongan golongan atas pagar; kali ini tidak lagi.

Bukan bermakna kerajaan baharu tidak mencetuskan pembaharuan dan memacu agenda reformasi. Tatakelola atau urustadbir kerajaan yang baik diusahakan dengan giat dan bersungguh-sungguh. Pelan antirasuah digerakkan secara sistematik dan diakui dunia. Kerajaan kini mempunyai kuasa yang terhad; inilah juga yang dihasratkan. Malah perdana menteri terpaksa berdepan dengan kritikan dan pandangan kritis daripada sekutu sendiri apabila partinya tidak lagi dominan. Ia nampak seperti menyukarkan tetapi dalam konteks pendemokrasian, sesuatu yang sihat.

Buku-buku yang dibeli di PBAKL belum terusik kerana masalah penglihatan.

Media dibebaskan

Selain itu, media dibebaskan daripada segala kongkongan cengkaman sehingga dikatakan telah mencapai tahap “di luar kawalan”. Kontrak-kontrak mega yang merugikan berbilion-bilion dana awam dirundingkan semula dan berjaya menjimatkan wang pembayar cukai.

Penyelewengan dalam institusi strategik, seperti Felda dan Tabung Haji dikenalpasti dan melalui proses pemulihan secara profesional. Orang-orang politik tidak lagi memenuhi kerusi lembaga pengarah. Kecurian raksasa wang rakyat seperti kes 1MDB yang memalukan itu sedang dibicarakan. Pelbagai ketirisan dalam agihan subsidi dan bantuan buat rakyat susah, dapat ditampal dan dikembalikan kepada yang berhak.

Pihak pembangkang pastinya mencari dan mengeksploitasi setiap kelemahan dan kealpaan kerajaan, sambil mengukuhkan naratif gelap Melayu-Islam di bawah Pakatan Harapan. Lihat sahaja isu hibah terendah Tabung Haji dimanipulasi sebegitu rupa, sehingga pihak yang sebenarnya bertanggungjawab dipaparkan sebagai hero dan individu-individu yang berusaha keras memulihkan TH dilabel dengan pelbagai gelaran negatif.

Begitu juga dengan satu lagi agensi strategik orang Melayu, Felda yang ditimpa skandal kewangan lebih teruk daripada 1MDB. Pendedahan Kertas Putih Felda yang membongkar beberapa penyelewengan mega seperti tidak dipedulikan.

Anehnya, bekas perdana menteri, Najib Razak tetap dianggap “bossku” sedangkan terbukti beliau memperalatkan kantung Felda demi kepentingan politik sempitnya. Transaksi berbilion ringgit dimetrai walaupun langsung tidak membawa manfaat buat rakyat. Lebih malang, parti agama masih tidak memisahkan dirinya dengan “penjenayah” yang mengkhianati Melayu-Islam itu.

Sudah pasti saya turut terkesan dengan apa yang dikatakan keresahan orang Melayu terhadap prestasi Pakatan Harapan, walaupun pada masa sama, saya hairan mengapa mereka boleh mudah terjebak dalam perangkap propaganda Umno-Pas itu.

Seolah-olah tiada sumbangan bermakna kerajaan untuk memulihkan negara yang hampir punah dijarah Umno-BN. Saya ikut bimbang tetapi tidaklah panik. Sandaran saya, PH belum mencecah setahun dan tempoh berbaki masih panjang, empat tahun lagi.

Lagi pun, tiada kesalahan serius direkodkan penguasa sejak Mei 2018; mungkin isu komunikasi politik yang tidak selaras dan kurangnya pengalaman serta tiada lagi penyembunyian maklumat oleh media bebas. Kita bagai menghuni rumah kaca.

Ada rakan-rakan cuba memujuk; keputusan siri PRK, termasuk tiga yang terakhir sebenarnya tidak banyak berubah dengan trend PRU14. Gabungan Umno-Pas sedikit memberi lonjakan kepada prestasi BN. Sokongan kepada PH tidak terjejas, tambah mereka.

Saya akur. Namun PH sendiri gagal menarik sokongan baharu walaupun sudah berstatus kerajaan. Apakah ini bermakna majoriti rakyat cukup berpuas hati dengan rekod kerjanya sebagai pemerintah, terutama menawarkan solusi kepada masalah yang dekat, seperti kos hidup, peluang pekerjaan dan harga komoditi ataupun pengundi Melayu (termasuk kakitangan awam dan pasukan keselamatan) yang mudah digoda isu-isu sensitif terus dipasung dakyah perkauman.

Begitupun, sebahagian pemimpin PH sendiri nyata kurang cermat mengatur aksi dan meluahkan kata. Mereka secara sengaja bagai memperkuatkan naratif songsang Umno-Pas itu. Pertimbangan masih pekat dengan sentimen perkauman, dan mengetepikan amalan profesionalisme. Contoh nyata, ceramah seorang menteri di hadapan khalayak India dalam PRK Rantau.

PH agak beruntung walaupun diasak amarah rakyat tetapi tiada pilihan lebih baik sebagai alternatif.

Saya pernah menekankan, PH agak beruntung, walaupun diasak amarah rakyat tetapi tiada pilihan lebih baik sebagai alternatif. Rekod Umno-BN langsung tidak memberi kelebihan kepada mereka. Benar, ada pandangan agar kita tidak terus membebankan masalah negara kepada regim BN terdahulu. Rakyat sudah menyedari rekod keji itu, justeru mereka menolaknya dalam PRU14.

Bagi saya, memang tumpuan utama kerajaan untuk melaksana program pembaharuan dan pemulihan, tetapi operasi kejahatan berdekad-dekad lamanya itu harus terus diselongkar dan dibongkar. Sambil menyelam minum air. Paparkan secara jelas dan terang agar rakyat dapat melihat dengan visual yang mudah difahami.

Baru-baru ini akhbar melaporkan, kenyataan Prof Jomo KS yang memuji tindakan kerajaan mendedahkan mengenai kecurangan dan penipuan besar-besaran dalam Felda dan menyifatkannya langkah tepat dan usaha seumpama itu perlu diteruskan bagi beberapa projek lain.

Imaginasi kebanyakan rakyat tidaklah sofistikated tetapi bukan senang juga untuk dipenuhi. Kenaikan harga barang seharian, subsidi yang dimanjakan oleh Najib, menstabilkan harga sawit dan getah, juga penyelesaian menyeluruh isu petani dan nelayan, memerlukan lebih masa. Mungkin enam bulan seperti dijanjikan Tun Daim Zainuddin pun tidak memadai.

Rakyat awam mungkin tidak cukup terpesona dengan usaha perangi korupsi, mereformasikan institusi, membetulkan sistem perkhidmatan awam, membebaskan media dan sebagainya tetapi dari segi jangka panjang, ia amat bermanfaat untuk negara. Perubahan harus berstruktur dan berwawasan jauh, sekali gus respons kepada keresahan rakyat. Ia bukan bersifat populis tetapi jangan pula tidak sensitif dengan keperluan semasa.

Apa pun, saya tetap terkepung dengan empat penjuru kamar tidur ini. Mujur ruang agak selesa, pintunya menghadap view hijau mendamaikan. Selain masa menjalani siri rawatan, dunia saya tambah sempit. Dua almari besar buku sudah tidak terusik lebih empat tahun. Buku-buku yang dibeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, awalApril ini juga masih kemas dalam bungkusan. Alhamdulillah, imaginasi dan angan-angan saya tetap mekar; moga PH dapat berkhidmat dengan cemerlang, ambil iktibar daripada kritikan, hatta cemuhan. PRU15 ditentukan oleh prestasi mereka sendiri, bukan cerita dongeng pembangkang!

PRU15 ditentukan oleh prestasi PH sendiri, bukan cerita dongeng pembangkang.