Maradona bayang hasrat untuk kekal sebagai bos Dorados

Maradona bayang hasrat untuk kekal sebagai bos Dorados

Legenda bola sepak Argentina Diego Maradona pada Jumaat membayangkan hasratnya untuk menarik balik keputusan berundur daripada jawatannya sebagai ketua jurulatih kelab divisyen dua Mexico, Dorados, pada akhir musim ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Pada awal bulan ini, Maradona berkata beliau sedang menimbangkan keputusan untuk berundur susulan terdapat dakwaan sikap berat sebelah pengadil terhadap pasukan lawan.

Bagaimanapun, bintang bola sepak berusia 58 itu menukar nadanya selepas kemenangan 1-0 Dorados di tempat sendiri ketika menentang Cimarrones de Sonora pada pusingan pertama suku akhir Ascenso MX.

“Saya perlu bercakap dengan (pemilik pasukan) Jorge Alberto Hank, kerana saya mempunyai banyak idea untuk perlawanan Dorados seterusnya. Saya dapat rasakan keserasian dengan kelab ini dan saya akan mempertahan pemain-pemain saya sehingga nafas yang terakhi,” katanya kepada pemberita.

Keputusan perlawanan itu memperkukuh kedudukan Dorados yang tidak pernah tewas sepanjang 10 perlawanan.

Pemeng Piala Dunia 1986 itu menjadi ketua jurulatih Dorados pada September, dan memimpin mereka untuk memenangi enam daripada tujuh perlawanan pada musim lepas.

– BERNAMA