Malaysia Dateline

73 kakitangan KKM dikesan positif Covid-19

Seramai 73 kakitangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan positif wabak Covid-19.

Berdasarkan siasatan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan ini bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

“Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes (64.4 peratus) adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang juga dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh.

“Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan dari kontak keluarga yang positif wabak tersebut.

“Untuk makluman, seramai 1,895 anggota kesihatan KKM yang menguruskan pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan, di mana 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif,” maklum beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial (social distancing) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan.

Dalam perkembangan sama, sehingga jam 12 tengah hari, hari ini terdapat 172 kes baharu yang telah dilaporkan.

Dr Noor Hisham berkata, angka itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,796 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, daripada 172 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 71 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling, manakala baki 101 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan lain-lain kluster.

“Sehingga kini, seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 34 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi.