Malaysia Dateline

73,000 warga asing dikenakan NTL di pintu masuk sejak 1 Januari

Seramai 73,000 warga asing dikenakan Notis Tolak Kemasukan (NTL) di semua pintu masuk negara ini sejak 1 Jan lalu, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata perintah larangan masuk itu yang diperuntukkan mengikut Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 dilaksanakan kerana dicurigai boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2018 peringkat Jabatan Imigresen Malaysia KLIA di sini hari ini, Mustafar berkata antara kesalahan warga asing berkenaan ialah pemalsuan status pelajar, pasport rosak dan tempoh pasport yang hampir tamat iaitu dua minggu.

“Ada juga warga asing diberikan NTL kerana mereka tidak dituntut oleh majikan selepas tiba di Malaysia dalam tempoh enam jam seperti yang ditetapkan, jadi kita tidak ada pilihan selain menghantar mereka pulang selepas warga asing menunggu sehingga tiga hari di lapangan terbang.

“Bagi kes pemalsuan status pelajar, ada warga asing yang melampirkan surat tawaran palsu institusi pendidikan yang sudah lama ditutup dan tidak beroperasi di negara ini,” katanya.

Selain itu, Mustafar turut memaklumkan lebih 46,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan melalui 15,000 operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen di seluruh negara mulai 1 Jan lalu.

Daripada jumlah itu, kira-kira 9,000 masih ditahan di depoh Imigresen manakala selebihnya telah dihantar pulang ke negara asal selepas dikenakan kompaun mengikut kesalahan, katanya.

Menurut Mustafar majoriti yang ditahan ialah warga Indonesia, India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

“Kita sedang mempercepatkan proses penghantaran pulang PATI memandangkan depoh kita semakin sesak serta perlu menanggung makan dan perubatan PATI. Minggu lalu saya berbincang dengan Kedutaan Indonesia untuk menghantar pulang PATI dengan kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar berkata sebanyak 1,400 majikan yang melanggar undang-undang juga telah dikenakan tindakan dan proses pendakwaan.

“Sekali lagi saya menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan majikan yang degil melindungi PATI. Kita akan memastikan penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan,” katanya.

Mustafar berkata tindakan tegas itu bukan bertujuan menyekat kehadiran warga asing ke Malaysia, sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara. — BERNAMA