Malaysia Dateline

732 kes positif COVID-19 dilaporkan, 8 kluster baharu dikenal pasti

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 732 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 22,957 kes.

Pertambahan kes ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 7,827 kes bagaimanapun pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 732 kes baharu yang dilaporkan, terdapat lapan kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan enam warganegara dan dua bukan warganegara iaitu dari negara Singapura, Nepal, Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis.

Katanya, sehingga kini, terdapat 102 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan enam kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 199 kes,” katanya dalam sidang media hari ini.

8 kluster baharu dikenal pasti

Beliau berkata, terdapat lapan kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Basung melibatkan sebuah jeti nelayan di daerah Kudat, Sabah.

“Sebanyak 19 kes dikenal pasti positif COVID-19 dalam kluster ini melalui saringan bersasar ke atas individu yang terlibat dengan perniagaan ikan di daerah Kudat,” katanya.

Tambahnya, tujuh kluster lagi adalah Kluster Inai, Kluster Tempayan, Kluster Long, Kluster Cahaya, Kluster Bah Kota, Kluster Melati dan Kluster Bina Labuan.