Malaysia Dateline

MAIWP sasar kutipan zakat RM720 juta tahun ini

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan zakat meningkat kepada RM720 juta pada tahun ini daripada RM651 juta tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi peningkatan syarikat-syarikat korporat yang membayar zakat sepanjang tahun ini.

“Kutipan zakat setakat ini sangat memberangsangkan meskipun keadaan ekonomi semasa yang berkembang dan menguncup.

Syarikat-syarikat korporat yang membayar zakat juga akan memperoleh manfaat hasil daripada bayaran tersebut apabila 37.5 peratus daripada jumlah zakat yang dibayar akan dikembalikan kepada pembayar zakat untuk digunakan bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan seperti membina masjid dan membantu golongan asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis agihan makanan berbuka puasa kepada asnaf di Pusat Agihan Zakat (Paza) Parlimen Bukit Bintang, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata sebarang program kebajikan yang ingin dilaksana syarikat korporat  melalui pengembalian kutipan zakat tersebut, hendaklah dimaklumkan kepada MAIWP bagi mengelak berlaku sebarang ketirisan.

Sementara itu, MAIWP menerusi Baitulmal MAIWP akan mengagihkan 1,450 bungkus makanan berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini kepada golongan asnaf di beberapa lokasi sekitar ibu kota.

Program tahunan MAIWP itu dijalankan bagi memastikan golongan asnaf tidak terpinggir serta dapat merasai nikmat berpuasa.

Agihan makanan akan bermula pada 5 petang setiap hari di 10 lokasi Paza  sekitar ibu kota antaranyaParlimen Bukit Bintang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral; Parlimen Titiwangsa di UTC Keramat Mall,Parlimen Lembah Pantai, Bandar Tun Razak danSetiawangsa serta Rumah Transit Perantaraan (AADK) Jalan Sultan Azlan Shah.

Pada majlis sama, MAIWP turut menyampaikan  bantuan Aidilfitri  kepada golongan asnaf berjumlah RM12.68 juta, bantuan Ihya’ Ramadan kepada masjid dan surau (RM8.65 juta) serta sumbangan kepada Tabung Kebajikan dan pesakit hospital (RM1.35 juta).- BERNAMA