Yadim lantik 30 ahli MPWIM laksana dakwah kepada wanita

Yadim lantik 30 ahli MPWIM laksana dakwah kepada wanita
Nik Omar Nik Aziz menyerahkan watikah pelantikan kepada Dr Hafidzah sambil diperhatikan Datuk Abdul Ghani Shamsuddin Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ummah dan Wanita Yadim.

Seramai 30 Ahli Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) menerima watikah pelantikan sebagai Jawatankuasa Induk Mpwim dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) termasuk pelantikan dua orang penasihat MPWIM hari ini.

Ahli-ahli MPWIM terdiri daripada pemimpin wanita dari pelbagai pertubuhan wanita Islam, ahli-ahli akademik dan profesional serta mereka yang berpengalaman dan yang telah menyumbang kepada kemajuan wanita.

Melalui pelantikan ini, barisan ahli Mpwim yang baharu diketuai oleh Dr Hafidzah Mustakim selaku Pengerusi, manakala Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Maznah Daud sebagai Penasihat Mpwim.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz, berkata, dengan pelantikan ini, beliau berharap untuk menjadikan Yadim sebagai salah satu agensi kerajaan mesra pandangan yang menghimpunkan jawatankuasa berbeza pendapat untuk duduk semeja.

“Kita telah mengaktifkan salah satu entiti yang berada di Yadim dan dianggotai dari pelbagai kepakaran dari kalangan wanita Muslim yang mana secara umumnya, antara fokus utama adalah untuk sama-sama menyumbang kepada dakwah.

“Wanita memainkan peranan penting dan ada kekuatan tersendiri yang tak ada dalam lelaki. Saya secara pribadi melalui pengurusan tertinggi Yadim bangga dengan kesudian pihak wanita bersama dengan Yadim untuk melaksanakan tugas dan fungsi utama iaitu menyebarkan dakwah.

“Cuba kira berapa kali kita libatkan diri secara langsung untuk mendedahkan islam kepada semua rakyat Malaysia tak kira pelbagai bangsa. Kita harap Mpwim dapat memenuhi hasrat Yadim yang juga merupakan hasrat kewujudan dari pencipta untuk menunjukkan contoh terbaik kepada alam yang disebut sebagai rahmat,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan watikah pelantikan Jawatankuasa Induk Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Antara barisan ahli MPWIM yang hadir menerima watikah daripada Yadim hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MPWIM, Dr Hafidzah berkata, beliau menerima amanah besar untuk mengemudi MPWIMdan percaya apabila wanita dilibatkan sebagai pemegang taruh, maka kesannya akan dirasai oleh organisasi terbabit.

“Satu kajian mendedahkan bahawa Syarikat Fortune 500 yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga pengarah wanita telah berjaya mencapai pulangan ke atas modal yang dilaburkan sehingga mencatat peningkatan 66 peratus disamping pulangan ke atas jualan juga meningkat sehingga 42 peratus.

“Tidak hairanlah jika Kofi Annan, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pernah berkata, apabila wanita terlibat, kebaikannya akan dilihat serta merta, pendapatan meningkat, tabungan dan pelaburan semula juga bertambah,”katanya.

Dalam Majlis sama, Hafidzah turut berkata, MPWIM akan memberi fokus kepada empat perkara utama seiring untuk menjadikan Malaysia sebagai model pentadbiran Islam yang Rahmah.

Katanya, beliau akan meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan wanita dan masyarakat untuk dihayati sebagai panduan hidup dalam kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat, dan negara.

“Selain itu, kita akan meningkatkan capaian ilmu yang benar dan tepat kepada seramai mungkin wanita dengan memanfaatkan teknologi terkini ke arah membina masyarakat terasuh, berilmu dan penyayang sekaligus membina institusi keluarga yang utuh.

“Mpwim juga akan mengembangkan budaya perkongsian dan permuafakatan antara semua pihak termasuk agensi kerajaan, ngo, dan individu dengan menjiwai ruh Fastabiqul Khairat.

“Yang terakhir adalah untuk meneguhkan hakikat bahawa Islam adalah penyelesaian kepada permasalahan ummah dengan mengenengahkan model penyelesaian Islam khusus kepada isu berkaitan wanita, keluarga dan kanak-kanak,”ujarnya.