Malaysia Dateline

766 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim dapat wang ihsan

Seramai 766 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang lalu menerima wang ihsan bernilai keseluruhan RM161,000, hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyampaikan wang ihsan terbabit kepada 26 mangsa yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dengan sumbangan RM500 seorang, manakala 740 mangsa masing-masing terima RM200.

Daripada jumlah itu, 740 yang dirawat di wad biasa menerima wang ihsan RM200 seorang, manakala 26 lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) masing-masing menerima RM500.

Majlis penyerahan wang ihsan itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, di Dewan Serbaguna Taman Mawar, sempena Majlis Perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional peringkat negeri di Pasir Gudang.

Dr Sahruddin berkata, semua nama mangsa yang diberikan wang ihsan itu diterima daripada rekod NADMA dan Jabatan Kesihatan negeri.

“Kita (kerajaan negeri) dapat nama (mangsa) daripada NADMA dan Jabatan Kesihatan, mungkin ada yang bermasalah (nama tiada).

“Ini kerana kadang-kadang ada penerima yang masuk hospital, apabila kita ‘trace’ (kesan) alamat dia kat Pasir Gudang, tidak jumpa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Pada 12 tenga hari 14 Mac lalu, seramai 2,775 orang awam telah menerima rawatan, tujuh dirawat di ICU.

Sebanyak 92 tadika dan taska di kawasan terjejas juga ditutup bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa manakala 51 laporan polis diterima berhubung kes pencemaran tersebut.

Dalam hal berkaitan, Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, 17 Julai lalu.

Peguam yang mewakili 160 mangsa dalam kes berkenaan, Kamarudin Ahmad, berkata tindakan itu susulan kesan pencemaran toksik membabitkan anak guamnya terdiri daripada 120 nelayan, enam orang awam dan 34 pelajar.

Katanya, saman tersebut membabitkan ganti rugi am dan khas, selain ganti rugi membabitkan tuntutan ke atas Irfan Wafi Idham Wazir, 12, yang kini menderita saraf kaki dan positif Myokimia.