Malaysia Dateline

Warga Syria di Malaysia mengharapkan peluang pekerjaan, pendidikan

Saat konflik di Syria kini memasuki tahun kesembilan, sebahagian anak di negara tersebut tidak pernah mengetahui bagaimana rasanya berada di dalam kelas. Biarpun menjadi pelarian di negara orang, pendidikan tetap menjadi keutamaan mereka.

Malaysia Dateline sempat menemubual dua buah keluarga Syria yang sudah lebih lima tahun menetap di Malaysia, dan kumpulan minoriti Islam Syria ini sangat mengharapkan bantuan dalam bentuk pendidikan dan peluang pekerjaan.

Siham Al Rejab dan anaknya Muhammad Abdul Hadi

Bagi seorang suri rumah, Siham Al-Rejab, tiada lain yang penting selain pendidikan anak-anaknya kerana percaya kemampuan mereka menjadi seorang yang berguna yang mampu menyumbang semula kepada negara mereka kelak.

Berkongsi tentang impian empat orang anaknya, Siham berkata cita-cita mereka ingin menjadi seorang guru hafazan, juruterbang, dan juga seorang doktor.

Dua anaknya kini bersekolah di sebuah Pusat Bimbingan Alternatif yang dikawal selia oleh sebuah badan bukan kerajaan (ngo) iaitu Cinta Syria Malaysia yang mempunyai seramai 43 orang murid manakala anak sulungnya, berumur 16 tahun belajar di International Mutiara School di Cyberjaya.

“Saya hanya perlu bayar RM50 sahaja setiap bulan untuk pembelajaran dua orang anak saya di Sekolah Cinta Syria Malaysia. Manakala anak sulung, saya bayar RM250 hanya untuk kos pengangkutannya ke Cyberjaya.

“Kami sangat gembira kerana kami masih diberi kemudahan pendidikan yang sama seperti kamu semua. Malah, untuk anak sulung saya, pengetuanya tidak mahu mengambil duit kami untuk yuran belajar, jadi kami bayar yuran pengangkutan van sahaja.

“Cuma anak kedua saya, Muhammad yang kini berumur 13 tahun masih belajar di kelas darjah 6 kerana lambat daftar sekolah dan sekolah tersebut menyediakan pembelajaran untuk anak-anak berumur sehingga 12 tahun sahaja,”katanya.

Siham turut memberitahu, suaminya, Abdul Hadi kini bekerja sebagai pemandu van pusat berkenaan dan dibayar upah sekitar RM1,500 sebulan.

Katanya ia mencukupi kerana rumah yang diwakafkan tidak memerlukan mereka sekeluarga membayar sewa dan bil kerana ia ditanggung oleh pemilik yang mewakafkan penginapan tersebut.

Siham Al Rejab bersama suami dan lima anaknya sudah menetap lima tahun di Malaysia

Sementara itu, bagi keluarga Muhannad Al-Abbas, beliau mengakui sememangnya menerima banyak bantuan dari badan bukan kerajaan (NGO), dari sekecil makanan hingga ke sebesar pendidikan untuk dua orang anaknya semenjak menjadi pelarian di tanah Malaysia pada tahun 2015.

Baginya, peluang pekerjaan merupakan perkara utama yang terpenting kerana sebahagian rakan-rakannya yang sebelum ini tinggal di Malaysia terpaksa pulang ke Syria atas faktor tiada pekerjaan dan penempatan.

Jelasnya, usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imegresen yang menyediakan pas pelawat untuk pelarian membantu beliau mendapatkan pekerjaan disini.

Muhannad Al Abas

Muhannad juga berkata, pas pelawat yang disediakan kerajaan memudahkan pelarian Syria bermaustatin secara sah di negara ini berbanding kad pas pelawat UNHCR yang dimilikinya pada tahun pertama memasuki Malaysia kerana pas tersebut tidak membolehkan mereka untuk bekerja.

“Pada tahun pertama di sini, saya tidak dibenarkan bekerja kerana hanya menggunakan pas dari UNHCR. Nak kerja senyap-senyap pun tak boleh kerana takut ditangkap dan dihantar semula ke Syria.

“Jadi, selepas berdaftar dan memohon kad pelawat IMM13 dari kerajaan, baru saya boleh cari kerja kerana ia ada kelulusan imegresen yang membenarkan kami bekerja.

“Tapi ada antara kawan-kawan saya yang dibayar gaji rendah dalam lingkungan RM800 sebulan, susah untuk mereka meneruskan kehidupan berkeluarga sehingga terpaksa pulang semula ke Syria.

“Mereka juga susah untuk mendapatkan pekerjaan kerana perbezaan bahasa yang digunakan. Ada yang tak pandai berbahasa Inggeris apatah lagi bahasa Melayu,”ujarnya.

Beliau juga yang pernah bekerja sebagai guru agama di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), berkata, keadaannya yang kini stabil setelah lima tahun menetap di bumi Malaysia, menjadikannya mampu untuk tidak lagi menerima bantuan wang tunai atau beras.

Menurutnya, bantuan yang sampai akan ditolak secara baik dan mencadangkan untuk diberikan kepada orang yang lebih memerlukan berbanding dirinya kerana keadaan ekonomi keluarga hari ini yang semakin baik dengan bantuan dan kemudahan yang diperolehnya sebelum ini.

Muhannad Al Abbas bersama isteri dan tiga anaknya

Tidak boleh kembali ke Syria

Malaysia Dateline ketika menemui kedua-dua keluarga ini, pada minggu keempat Ramadan dan 1  Syawal yang akan menjelang esok (Rabu)  mereka meluahkan hasrat dan harapan yang sama ingin kembali ke tanah air melawat ibu bapa dan keluarga mereka yang masih menetap di Syria

Bagi Siham, keselamatan anak-anak yang membesar menjadi keutamaan kerana jika mereka kembali ke Syria, anak-anak mereka akan dijadikan sebagai askar secara paksa.

“Jika kami pulang ke sana, saya tak tahu apa akan jadi pada keselamatan anak-anak saya. Muhammad pasti akan ditahan dan akan dipaksa untuk menjadi tentera. Anak perempuan pula mereka akan dipaksa untuk mengikuti ajaran syiah.

“Raya tahun depan mungkin saya balik tapi anak-anak saya macam berat nak bagi. Saya kesian dengar mak ayah pernah mereka makan rumput pada bulan puasa. Abang saya pula seorang yang berisi badannya terus jadi kurus. Saya mahu melawat mereka,” kata Siham penuh kerinduan mendalam dilubuk hatinya.

Namun, bagi Mariah,16, dan Muhammad,13, mereka hanya menunduk dan menggeleng apabila ditanya sama ada ingin mengikuti ibunya pulang ke Syria.

Dapat dikesan trauma mereka sejak tercetus konflik di Syria yang sudah memasuki tahun kesembilan itu amat mendalam dan melukakan sehinggakan remaja ini bernekad tidak mahu pulang dan tidak membenarkan ibu bapa mereka kembali ke sana lagi. Malaysia adalah rumah mereka kini.