Akhlak cerminan kesucian perjuangan

Raja Kamarul Bahrin ShahPada Muktamar Pas baru-baru ini sekali lagi acara memperlekehkan orang dari parti lain berlaku lagi. Diantara insiden yang berlaku, saorang wakil dari Pas negeri Selangor telah menyindir penyampaian Tuan Haji Mohd Sabu bertutur bahasa Inggeris di satu Mesyuarat di Singapura baru-baru ini.

Sikap menganggap diri dan partinya serba sempurna adalah budaya sebahagian ahli jawatankuasa tertentu PAS sekarang ini walaupun Islam meminta umat Islam merendahkan diri serta senantiasa muhasabah diri atas kekurangan kita di mata Allah.

Lupakah mereka orang yang mereka sindir ini pernah di pilih oleh ahli parti Pas sendiri sebagai Timbalan Presiden Pas semasa zaman Almarhum Nik Abdul Aziz menjadi Murshridul Aam Pas dan beliau hari ini adalah Menteri Pertahanan Malaysia iaitu seorang Menteri kanan. Kalau dahulu di angkat dan di sanjung, adakah sindiran tersebut dari rasa iri hati jawatan baru Mat Sabu hari ini ?

Lupakah mereka Mat Sabu sangat popular dan sering di jemput oleh ahli Pas sendiri dahulu atas sebab bakat berpidato beliau ?
Hanya kerana beliau beralih parti tidak membuat beliau kurang berkebolehan dan bijak berfikir serta berhujah.

Dahulu saya sering di minta olih AJK Pas untuk menjemput Mat Sabu untuk berceramah di Terengganu kerana bakat hujah serta pidato beliau akan memastikan kutipan wang yang banyak di ceramah-ceramah beliau untuk Pas.

Atas sebab apakah mereka menyindir Mat Sabu hari ini kalau tidak kerana iri hati atas rezeki yang di kurniakan Allah ke atas nya.

Saya ingin bertanya AJK Pas tersebut, bukankah penguasaan menjaga akhlak dari menyindir orang cara terbuka lebih penting dari penguasaan bahasa inggeris ?

Bukankah Islam meminta kita memberi keutamaan menjaga akhlak ? Lupakah sudah kita baru sahaja melalui bulan Ramadhan yang mulia di mana kita telah menjaga tutur kata serta akhlak kita.

Mohamad Sabu seorang yang berterus terang serta ikhlas dan beliau telah menyatakan beliau meninggalkan kursus pengajian beliau di MARA tanpa menamatkan pengajian penuh demi mengejar perjuangan sebagai aktivis Negara.

Adakah semua yang ke Mesir, Jordan dan negara Timur Tengah lain untuk menuntut ilmu bidang Syariah, Agama dan bahasa Arab tanpa menamatkan pengajian mereka mengistiharkan status kelulusan akademik sebenar mereka hari ini?

Ada yang tidak menamatkan pengajian mereka di timur tengah tidak mengistiharkan status sebenar tetapi “berkhidmat” di dalam masyarakat seolah olah mereka mempunyai kelulusan ijazah penuh .

Saya ingin ingatkan wakil Selangor, itu lah bezanya Mat Sabu dengan mereka-mereka ini.

Sementara ahli-ahli kabinet kanan lain menerima gelaran kebesaran negara, sebagai seorang Menteri Kanan dan Menteri Pertahanan Malaysia, Abang Mat Sabu juga layak menerima darjah kebesaran Negara tetapi beliau telah menyatakan tidak akan menerima apa-apa gelaran buat masa ini.

Saya percaya wakil Pas Selangor itu ada kenalan atau sahabat-sahabat yang di beritakan telah sanggup menerima atau memperolihi gelaran kebesaran dari luar Malaysia yang tidak di iktiraf oleh Negara dan kerajaan Malaysia kita untuk di pakai di Majlis-majlis tempatan.

Itulah satu lagi keistimewaan Abang Mat Sabu yang di sindir oleh wakil Pas Selangor itu.

Sebelum menyindir dan cuba merendahkan pihak lain, saya mohon ahli Pas Selangor tersebut mengkaji juga sejarah dan sahabat kenalan sendiri dahulu.

Sebagai ahli parti yang mendakwa menjunjung perjuangan serta ajaran Islam, beliau perlu tunjuk akhlak dan contoh yang lebih baik yang terkandung dalam Al Quran serta ajaran Islam.

Akhlak mencerminkan hati dan kesucian perjuangan sasaorang dan partinya.