79 daripada 80 pindaan perlembagaan Bersatu diluluskan

79 daripada 80 pindaan perlembagaan Bersatu diluluskan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan bahawa 79 daripada 80 pindaan perlembagaan parti diluluskan oleh 900 ahli perwakilan yang hadir ketika Mesyuarat Agung Khas Bersatu, hari ini.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau yakin perlembagaan yang dipinda itu akan menjadikan parti lebih teratur dan kemas.

Katanya, majoriti ahli bersetuju mempunyai ahli bersekutu dalam parti tetapi tidak bersetuju jika ahli bukan peribumi dilantik dalam Jawatankuasa tertentu.

“Daripada 80 cadangan, ada satu perkara sahaja yang mereka tak setuju.

“Mereka setuju ada ahli bukan bumiputera, tapi untuk Jawatankuasa-Jawatankuasa tertentu mereka tak setuju, jadi itu pendirian mereka.

“Oleh kerana ini pendapat majoriti, kami terima iaitu kita tidak ada ahli jawatankuasa yang akan dipilih dengan penyertaan ahli bersekutu atau bukan bumiputera.

“Selain daripada itu, mereka bersetuju dengan pindaan-pindaan yang dibentangkan. Saya percaya pada diri, bahawa parti kita akan menjadi lebih kemas. Hari ini pun kehadiran agak baik, hampir 900 hadir daripada 1200 ahli,” katanya.

Tambahnya lagi, setakat ini masih tiada lagi tarikh tetap untuk melaksanakan pemilihan parti.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Khas Bersatu di Maeps Serdang, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Perlembagaan Parti Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan, hasil perbincangan bersetuju untuk mengubah kaedah pemilihan di mana majoriti bersetuju untuk melaksanakan Satu Ahli Satu Undi (Sasu) untuk pemilihan parti.

Namun katanya, Sasu tidak dapat dilaksanakan diperingkat MPT dan hanya akan dilaksanakan diperingkat cawangan dan bahagian sahaja.

“Isunya adalah untuk melaksanakan Sasu tetapi hanya di peringkat cawangan dan bahagian, tidak sampai ke Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Ianya isu praktikaliti. Kalau Sasu diamalkan di peringkat MPT seperti mana yang berlaku di parti lain, mesyuarat atau persidangan bahagian mestilah bermesyuarat pada tarikh sama.

“Semua ahli mesti hadir di mesyuarat bahagian, dan kalau semua ahli terlibat dalam pemilihan, maka siapa yang akan buat kerja SPR yang akan menguruskan proses pemilihan.

“Jadi, atas sebab praktikaliti, dipersetujui bahawa Sasu diamalkan hanya di peringkat cawangan dan bahagian sahaja. Untuk memilih kepimpinan MPT, sistem perwakilan digunakan di dalam persidangan bahagian,” katanya.