Malaysia Dateline

8.3 juta rakyat mula terima Bantuan Prihatin Nasional hari ini

Seramai 8.3 juta isi rumah menerima peruntukan fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM5.63 bilion secara berperingkat mulai hari ini.

Pembayaran BPN dilakukan dengan hasil kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu rakyat memerlukan.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menasihatkan rakyat supaya berhati-hati dengan scammer yang mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan.

“Penerima disaran merujuk kepada sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali,” katanya menerusi satu kenyataan kelmarin.

BPN yang merupakan bantuan secara one-off itu diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion.

Terdapat empat kategori penerima bantuan menerusi BPN dengan kategori pertama adalah kira-kira 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.

Mereka akan menerima bantuan RM1,600 dengan bayaran RM1,000 akan dibayar pada hari ini dan baki RM600 pada Mei.

Sementara itu, kategori kedua melibatkan hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000.

Golongan tersebut akan menerima bayaran RM1,000 membabitkan bayaran RM500 hari ini dan baki RM500 bulan depan.

Seterusnya, kelompok ketiga adalah sekitar 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.

Mereka akan menerima RM800 dengan bayaran RM500 untuk fasa pertama dan baki RM300 pada fasa kedua bulan depan.

Bagi kategori keempat adalah 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas
yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000 yang menerima RM500 membabitkan bayaran sebanyak RM250 akan dibuat bermula hari ini dan baki RM250 pada Mei.