Malaysia Dateline

8 bekas Presiden Majlis Peguam kritik pembebasan Riza Aziz

Lapan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia mengkritik keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz daripada pertuduhan pengubahan wang haram.

Mereka menyifatkan keputusan itu sebagai “membingungkan” kerana ia tidak ada alasan kukuh yang dibekalkan.

“Maklumat yang ada setakat ini memberikan gambaran tidak terdapat alasan yang kukuh untuk menarik balik pendakwaan dan tidak meneruskan pendakwaan,” kata mereka, lapor Malaysiakini.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Zainur Zakaria, Kuthubul Zaman, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Lim Chee Wee, Christopher Leong dan Steven Thiru.

Mereka berkata persetujuan itu menggambarkan seseorang tertuduh boleh lepas jika sedia membayar balik sebahagian daripada perolehan yang diperoleh secara tidak sah.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu melepaskan anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak itu daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan untuk DNAA susulan beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

Keputusan itu bergantung kepada pematuhannya terhadap persetujuan untuk memulangkan jutaan ringgit wang kerajaan yang didakwa berkaitan dengan lima pertuduhan terhadapnya.

Sebelum ini, bekas Peguam Negara, Tommy Thomas menafikan beliau terlibat dalam memberikan kebenaran kepada pembebasan itu berikutan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau terlibat.