Tentu serik dibuatnya naik kereta yang berbau busuk. Ramai pemandu mungkin tidak sedar keretanya mengeluarkan aroma tidak menyenangkan.
Ada baiknya untuk anda apatah lagi jika perokok segera berikhtiar melakukan sesuatu agar kereta anda yang berbau itu tidak berterusan menjadi bahan gurauan rakan lain.
Selain mengekalkan kebersihan di dalam kenderaan termasuk tidaklah baju yang berpeluh selepas berjoging dicampak saja dalam kereta bercampur dengan bungkusan plastik makanan yang sudah terpakai, apa kata ikuti tips berikut ini:
- Kulit buah-buahan sitrus
Nanti dulu! Jangan buang kulit limau, oren dan lemon ke tong sampah. Hirisan kulit buah-buahan sitrus ini boleh diletak dalam bekas dan tinggalkan dalam kereta anda.
Segala bau busuk lenyap. Keluarga tersayang yang menaiki kereta anda pasti lebih menghargai anda. Rakan anda juga tentu tidak lagi trauma untuk diajak menumpang kereta anda.
- Kulit kayu manis
Kulit kayu manis bukan saja bermanfaat dalam memerangi penyakit diabetes, jantung mahupun kanser.
Malah, rempah ratus yang masyhur dalam masakan di seluruh dunia ini boleh juga diguna untuk menutup aib anda gara-gara kereta yang berbau.
Rebus saja beberapa batang kulit kayu manis. Tuang air rebusan tadi ke dalam cawan. Letakkan cawan itu dalam kereta anda. Nah, kereta anda akan semerbak baunya selepas beberapa jam.
- Serbuk kopi
Kopi memang diketahui memberikan aroma istimewa. Tidak hairanlah ada yang ketagih minum kopi. Jika kereta anda berbau hapak, cuba manfaatkan serbuk kopi.
Letakkan serbuk kopi dalam bekas terbuka dan biarkan semalaman di kereta anda dengan tingkap tertutup.
Pastinya, esok pagi anda memandu ke tempat kerja dengan lebih segar dan bersemangat. Anak yang dihantar ke sekolah pun pasti memuji kereta anda tidak lagi berbau busuk.
- Arang
Ada pemilik kereta yang mungkin lebih selesa jika menarik nafas yang bebas tanpa bau yang menyengat harumnya.
Apa kata dapatkan arang untuk bau dalaman kereta anda yang lebih neutral. Isi arang dalam kain kapas.
Letakkan dalam kereta anda. Bukan sahaja bau yang tidak menyenangkan ‘ditelan’ dan bertahan lama, malah mampu membunuh bakteria punca penyakit.
- Suratkhabar lama
Tanpa perlu mengeluarkan kos tinggi, gumpal saja suratkhabar lama di rumah anda. Bebola akhbar lama ini mampu jadi ejen penyerap bau yang efektif.
Hanya mungkin dalam zaman gajet sekarang, tidak banyak lagi rumah ada longgokan akhbar lama yang boleh dimanfaat untuk menghilangkan bau busuk dari kereta anda.
Sebaliknya jika ada, boleh diguna sebagai satu bentuk kitar semula.
- Kain pengelap
Suka atau tidak, elok ambil kain dan lap permukaan cermin dan kerusi kereta anda. Bau tidak menyenangkan bahkan asap rokok yang meresap tentu dapat dilupuskan.
- Pembersih hampagas
Kenalah rajin jika mahu kereta anda semerbak atau sekurang-kurangnya tidak berbau hingga berkerut dahi dibuatnya.
Ambil pembersih hampagas dan bersihkan kereta atau jika masih malas lagi, hantar saja kereta anda ke pusat pencucian kereta.
- Pewangi
Ramai yang memilih cara mudah dengan menggantungkan pewangi di kereta. Ya, langkah praktikal ketika kita seharian dihambat kekangan masa.
Tapi ingat! Jangan sama sekali sangkut minyak wangi kereta pada radio. Bahan kimia pewangi itu boleh mengganggu litar elektronik.