Malaysia Dateline

8 kes baharu COVID-19, satu kematian hari ini

Sebanyak empat kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,515 kes (97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes), demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hari ini terdapat lapan kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,704 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 67 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah lapan kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia.

“Daripada empat kes penularan di dalam negara pula, dua kes adalah dalam kalangan warganegara dan dua kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala dua kes adalah memerlukan bantuan pernafasan.

Setelah beberapa minggu tiada dilaporkan kes kematian, hari ini Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19.

Justeru, katanya, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 122 kes.

Kes kematian ke-122 (kes ke-8702) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Beliau telah mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai 2020 dan kemudiannya ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai 2020.

Beliau segera dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak setelah disyaki positif COVID-19 ekoran itu kesihatan beliau terus merudum dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau telah disahkan meninggal dunia pada 10 Julai 2020 jam 5.49 petang.