Malaysia Dateline

8 Mei: Perginya dua tokoh, Yusof Rawa dan Ismail Kamus

LUMRAH hidup manusia berputar antara kelahiran dan kematian. Keduanya adalah ujian untuk melihat manakah antara kita yang baik amalannya bila bertemu Pencipta manusia.

2. Hari ini 8 hb Mei seorang ulamak yang amat dikenali sejak awal 80an suaranya kedengaran di radio dan TV Malaysia. Majlis ilmunya memenuhi masjid dan majlis resmi menjelaskan bagaimana cara hidup Islam dipraktikkan. Suara umpama permata itu sudah tiada pada hari ini, hari ke 15 umat Islam berpuasa.

3. Namanya umpama tuan tubuh seperti ‘Kamus’ menjelaskan makna setiap kehidupan kita perlu berlandaskan syariat. Beliau ialah Ustaz Ismail Kamus sentiasa membuatkan orang tak kering gusi mengikuti kuliahnya, mendalam nasihatnya. Pedas kritikan sosialnya disulam dengan panduan adab-adab bermasyarakat dalam Islam.

4. Saya sempat mengenalinya secaral bersemuka pada hujung tahun 70an apabila beliau dijemput berceramah di Masjid─║─║ Melayu Lebuh Acheh Pulau Pinang atas jemputan Allahyarham ayahanda Haji Yusof Rawa. Pada umur persekolahan, saya sudah tertarik dengan gaya kupasannya yang mudah dan bernas. Saya membeli bukunya beberapa tahun kemudian antaranya ialah Hidup Bersyariat. Allahyarham meninggalkan bekas mendalam kepada ramai rakyat Malaysia dan antara perintis awal era kesedaran Islam di Malaysia sejak 70 an lagi.

5. Pada hari ini juga 8hb Mei, tarikh yang sememangnya senantiasa tersemat dalam diri saya kerana ia adalah hari kelahiran ayahanda saya Tuan Guru Haji Yusof Rawa iaitu 98 tahun yg lalu. Sentuhan didikannya amat mendalam kepada kami kesebelasan adik beradik. Hidupnya yang penuh keilmuan, keusahawanan dan perjuangan membawa beliau merantau dunia dan berkhidmat untuk negara dan watan tercinta.

6. Pernah bertugas sebagai wakil Malaysia ke PBB New York tahun 1973, Timbalan Menteri 1974-75 dan Duta Besar Malaysia ke Iran 1976-79. Dari sudut perjuangan politik bermula dari bawah sebagai ahli PAS pada awal penubuhannya hinggalah ke jawatan tertinggi Presiden dan Mursyidul Am. Amat berendah diri tetapi tegas dengan prinsip Islam sederhana dan menolak sebarang ideologi keras dan takfiri.

7. Apa yang menarik kepada kedua tokoh ini ialah mereka amat menitikberatkan zikrullah sebagai asas kekuatan. Ayahanda Haji Yusof Rawa sering ingatkan kami tentang perlunya solat dijaga, zikir sentiasa membasahi bibir dan jangan berhenti dari melakukan kebaikan kepada manusia. Tuan Guru Datuk Ismail Kamus dalam banyak nasihatnya kepada anak muridnya tidak ketinggalan mengingatkan perkara yang sama dan secara khusus menyebut ‘banyakkan sedekah’ dalam kehidupan.

8. Bawa diri masing-masing bertemu Allah melalui amalan sendiri maka dibekalkan wirid dan doa pada setiap kali memberi nasihat adalah cara berdakwah kedua tokoh ini.

9. Setiap tanggal 8 Mei dan hari-hari berikutnya adalah tanda sebuah kelahiran sebagaimana ia adalah juga tanda sebuah kematian. Bezanya 8 Mei bagi saya ialah kehadiran dua tokoh ini dalam berbaki kehidupan saya. Keduanya memberi kesan kepada saya dari sudut pengertian hidup bersyariat, berzikir sebagai ikhtiar kekuatan dalaman dan mempertahankan kehidupan Islam atas landasan Rahmatan Lil Alamin.

10. Mati kita hanya sekali, hidup kita dua kali. Kehidupan pertama sementara sedangkan keduanya kekal abadi. Kehilangan Tuan Guru Datok Ismail Kamus pada hari ini pasti terpahat di ambang kita memasuki era normal baru. Kelahiran Tuan Guru Haji Yusof Rawa pula pada hari ini adalah ingatan kepada apakah bakal corak perjalanan kehidupan kita nanti. Untuk keduanya marilah kita doakan ke hadrat ilahi mereka dikurniakan syurga dan keampunan dari Pencipta kehidupan dan kematian. Al Fatihah!

————————————

Penulis adalah Naib Presiden AMANAH yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar